Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YPKDT cadang jadikan kompleks Pekan Rabu Tampoi pusat jualan produk ibu tunggal, OKU


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 1 Julai (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) bercadang menjadikan Kompleks Perniagaan Pekan Rabu, di Tampoi, dekat sini, sebagai pusat pengumpulan dan jualan produk dihasilkan wanita khususnya ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata untuk tujuan itu, pihaknya bercadang memohon kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan.

"Kompleks (Pekan Rabu) ini boleh dijadikan sebagai hab pelancongan dan menjadi salah satu lokasi wajib pelancong membeli-belah seterusnya menjadi 'trademark' produk Johor," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) berhubung usaha dilakukan Kerajaan Negeri Johor bagi mempertingkatkan penglibatan golongan wanita, OKU dan warga emas dalam sektor pelancongan negeri.

Liow berkata selain Kompleks Pekan Rabu, YPKDT juga sedang berusaha mewujudkan Pusat Kraftangan Ibu Tunggal/Wanita dan Pusat Jualan Produk Usahawanita di Kluang.

Beliau berkata pusat berkenaan berfungsi sebagai pengumpulan semua produk yang dihasilkan oleh wanita, kumpulan B40 dan OKU seterusnya dijual kepada umum khususnya pelancong asing.

Menurut Liow, seramai 14,383 ibu tunggal direkodkan berdaftar dengan YPKDT sejak 2013 hingga kini dengan seramai 6,149 orang daripada mereka diberikan kursus kemahiran manakala 590 orang lagi menerima bantuan peralatan.

Katanya ada antara ibu tunggal di bawah bimbingan YPKDT sudah mengeluarkan produk-produk kraftangan untuk dipasarkan dan menghasilkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) seperti kerepek dan pastri yang dijadikan cenderahati untuk dijual kepada pelancong.

"Melihat kepada potensi ini, Kerajaan Johor melalui YPKDT mengambil inisiatif membantu kumpulan sasar ini menerusi aktiviti pelancongan iaitu dengan mewujudkan Pusat Kraftangan Ibu Tunggal/Wanita dan Pusat Jualan Produk Usahawanita di Kluang berkenaan serta Pusat Pengumpulan dan Jualan Produk di Kompleks Perniagaan Pekan Rabu, Tampoi," katanya.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel