Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan Johor rancang misi perdagangan ke Amerika Syarikat - exco


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 1 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu Kerajaan Negeri Johor merancang melaksanakan misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat, bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata ia bertujuan menarik kehadiran lebih ramai pelabur dari negara berkenaan ke negeri ini.

"Kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menarik pelabur dari Amerika Syarikat yang berminat untuk memindahkan operasi perniagaan mereka dari China ke negara-negara rantau Asia, terutama Malaysia, khususnya negeri Johor, berjalan positif," katanya pada Persidangan DUN Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung kesan perang dagangan China-Amerika Syarikat terhadap sentimen pelaburan di Johor.

Puah berkata dalam masa sama, Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa tiga misi dagangan ke China yang berlangsung pada Mac, April dan Mei lepas bagi menarik pelaburan syarikat pembuatan yang terjejas akibat perang dagangan Amerika Syarikat-China akan mula membuahkan hasil, akhir tahun ini.

Menurutnya, setakat ini, terdapat hampir 10 syarikat sudah terbabit dalam perbincangan, dan disusuli dengan banyak pertanyaan mengenai pelaburan di negeri ini.

"Sehingga Mac lepas, nilai pelaburan dari China ke Johor bernilai RM718 juta, dan setakat ini Johor merupakan negeri paling tinggi menerima pelaburan dari China di Malaysia.

"Ini menunjukkan kesan positif dan trend pelaburan seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap iklim pelaburan asing terutama dari China," katanya.

Puah berkata walaupun banyak negara terjejas akibat krisis yang sedang melanda, namun, buat masa ini, Malaysia boleh dikatakan bertuah dan mendapat sedikit sebanyak manfaat, dengan syarat Malaysia perlu lebih proaktif supaya dapat menghidu lebih banyak peluang untuk diambil hasil daripada perangan dagang berkenaan.

"Sebagai contoh, banyak syarikat dari China yang mendapat tempias akibat krisis perang perdagangan antara dua negara gergasi itu sedang menjalankan kajian pasaran dan berhasrat memindahkan perniagaan, industri dan kilang mereka di rantau Asia terutama di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel