I_P-X0FptW0 Hanya 10 pelajar alami gangguan kesihatan dirujuk ke hospital semalam
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya 10 pelajar alami gangguan kesihatan dirujuk ke hospital semalam


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Hanya 10 pelajar sahaja yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail  (HSI) berikutan gangguan kesihatan melibatkan simptom muntah-muntah dan sesak nafas di 27 sekolah di Pasir Gudang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata meskipun 273 orang terjejas termasuk tiga guru, namun selepas direhatkan hanya seramai 101 dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai untuk mendapatkan rawatan saringan.

“Sepuluh orang pelajar berusia antara 10 hingga 12 tahun daripada jumlah mereka yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas, dirujuk ke HSI untuk pemeriksaan lanjut.

“Hanya tiga sahaja kemudiannya dirawat di wad,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat 9.30 pagi ini, tiada mangsa baharu dilaporkan, kata Mohd Khuzzan.

Beliau berkata semua pegawai daripada agensi terlibat kini memantau kualiti udara di 85 sekolah yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ untuk mengetahui punca kejadian terbaharu itu.

“Jadi hari ini kita nak lihat bacaan sehingga pukul 1 tengah hari ini. Kita nak lihat bacaan sebenar di kawasan Pasir Gudang di semua sekolah, yang kita lihat majoriti yang terlibat adalah murid-murid sekolah,” kata nya.

Pembacaan kualiti udara yang diambil dalam masa yang sama dan serentak akan ditumpukan di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah, katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Khuzzan berkata pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam penyingkiran bahan-bahan sisa industri di lokasi yang berhampiran dengan taman perumahan dan sekolah.

“Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan membuat pemeriksaan inventori di 250 premis kilang yang mengendalikan bahan-bahan kimia yang ada di Pasir Gudang untuk memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata beliau.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan turut membentuk 18 pasukan First Aid yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri di sekolah-sekolah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel