kvLo8wfH2PQ Penjawat awam perlu toleransi, terima kelainan dalam kalangan mereka - Dr Mahathir
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penjawat awam perlu toleransi, terima kelainan dalam kalangan mereka - Dr Mahathir


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru penjawat awam supaya mengamalkan sikap bertoleransi, bertimbang rasa dan menerima kelainan dalam kalangan mereka agar tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata dalam kehidupan, setiap individu tidak dapat mengelak daripada bercampur dengan kawan ataupun lawan, maka sikap toleransi amat penting bagi menenteramkan keadaan di sekeliling.

"Kalau tidak bertoleransi, tidak sanggup bertimbang rasa, maka agak sukar bagi kita menjalankan tugas dalam sesuatu badan yang sudah tentu mempunyai orang di pelbagai peringkat.

"Kalau tiada kerjasama yang baik antara orang di peringkat tinggi dan rendah maka sukar bagi kita untuk melaksanakan tugas kita," katanya semasa berucap pada perjumpaan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata sepanjang setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara setelah diambil alih daripada kerajaan terdahulu yang memerintah selama 61 tahun, beliau mendapati terdapat banyak masalah hubungan dalam kalangan penjawat awam.

"Sesetengahnya dapat kita atasi tetapi masalah hubungan yang kurang baik antara yang baharu dengan yang lama menjadi satu masalah yang perlu diatasi oleh kita semua," katanya.

Dr Mahathir berkata jika penjawat awam dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan kelainan sesama mereka, maka tugas akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Dalam badan-badan yang terdapat dalam JPM ini ada banyak masalah kerana kadang-kadang kita dapati kita terpaksa bekerja dengan orang yang mungkin tidak ‘sebulu’, tak sesuai dengan kita," katanya.

Dr Mahathir berkata dalam musim sambutan Aidilfitri ini juga, ucapan ‘Maaf Zahir dan Batin’ yang menjadi budaya dalam masyarakat perlu diterjemahkan dalam amalan seharian.

"Kalau ada sesuatu yang tidak disenangi, kita hendaklah fikir bahawa pentingnya kita bermaaf-maafan supaya dapat bekerjasama dalam usaha kita mentadbir negara dengan baik supaya kita semua akan mendapat manfaat daripada hasil pentadbiran yang baik yang kita lakukan," katanya.

Dr Mahathir turut menarik perhatian terhadap laporan akhbar yang dibacanya hari ini bahawa perkhidmatan kerajaan kononnya sudah tidak efisien seperti dahulu.

Walaupun laporan itu mungkin benar atau mungkin juga tidak benar secara keseluruhannya, beliau mengingatkan agar penjawat awam tidak melenting apabila ditegur.

"Sebaliknya kita ambil kira teguran itu sama ada mempunyai asas ataupun tidak. Jika kita dapati ada asas-asasnya maka hendaklah kita betulkan diri kita," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel