Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi dihentikan


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





GEORGE TOWN, 30 Jun (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah bersebelahan sebuah pusat peranginan di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini diberhentikan sehingga mendapat perakuan pihak perunding untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) A. Rajendran berkata buat masa ini, Jalan Batu Ferringhi yang ditutup akibat kejadian tanah runtuh pada 25 Jun lepas itu telah dibuka kepada orang ramai selepas kerja-kerja menstabilkan cerun oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai pada 10.30 malam semalam.

"Semua aktiviti di kawasan pusat peranginan itu diberhentikan sehingga kita dapat pendapat dan perakuan pihak perunding. Kalau semua aspek keselamatan ditangani kita boleh buat dalam tempoh itu, mungkin enam bulan atau lebih kita tak tahu lagi. Apa-apa keputusan dibuat kita kena pastikan keselamatan orang awam tidak tergugat.

"MBPP telah mendapatkan pandangan perunding pakar daripada Institusi Jurutera Malaysia dan pemilik tanah juga telah melantik perunding pakar geoteknikal. Kita tunggu kajian dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan jangka masa panjang akan diambil," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan tanah runtuh itu, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari dan Pegawai Daerah dan Tanah Timur Laut Rosli Halim.

Dalam kejadian kira-kira 9.25 malam Selasa itu, empat warga Myanmar maut dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi.

Kesemua mangsa diupah oleh pemilik pusat peranginan di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.

Rajendran berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung insiden itu untuk dirujuk kepada pegawai undang-undang bagi tindakan selanjutnya terhadap pemilik tanah berkenaan berikutan menjalankan kerja-kerja pembinaan tembok penahan itu tanpa kebenaran.

Sementara itu, Zairil berkata jalan itu kini selamat dan kukuh untuk kegunaan pengguna jalan raya selepas pihak JKR memasang 'sheet piling' di kawasan tanah runtuh itu.

"Kerja secara keseluruhannya tak siap lagi, cuma penstabilan tanah itu 'sheet piling' dah dibuat. 'Sheet piling' ini cukup untuk membuka jalan buat sementara waktu. Jadi, jalan penyelesaiannya untuk jangka masa pendek dan panjang. Untuk jangka masa pendek telah dijalankan pihak JKR untuk memastikan jalan ini selamat.

"Tapi langkah jangka masa panjang itu pemilik tanah yang harus bertanggungjawab sebab ini kawasan dia. MBPP kena 'follow up' dengan pemilik tanah untuk tindakan susulan dari segi penyelesaian jangka masa panjang. Pemilik pun dah melantik pakar perunding untuk membantu dan kita harap reka bentuk yang baik dapat dibuat untuk memastikan keselamatan jangka masa panjang," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel