Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nur Idayu tidak peduli kritikan demi niat bantu mempelai


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Kecaman dan kritikan yang diterima kerana menganjurkan majlis pernikahan serta resepsi beramai-ramai tidak dipedulikan, kerana niatnya hanya satu iaitu membantu pasangan kurang berkemampuan menyempurnakan dan meraikan hari istimewa mereka. 

Nur Idayu Zainal Rashid, 33, yang merupakan pemilik syarikat perunding perkahwinan di sini  berkata banyak pihak mendakwa tindakannya itu akan menjatuhkan industri perancang perkahwinan memandangkan pasangan pengantin hanya mengeluarkan modal sebanyak RM3,500 bagi menyertai program anjurannya yang bermula sejak 2017.

Beliau yang turut mengusahakan perkhidmatan penyajian makanan, Wahyu Katering berkata sehingga kini 37 pasangan pengantin kebanyakannya berusia antara 19 hingga 25 tahun telah selamat dinikahkan dan diraikan menerusi program yang kini memasuki kali ketiga penganjurannya itu.

“Dengan menyertai program ini bermodalkan bayaran hanya RM3,500, pasangan pengantin memperoleh semua yang diperlukan termasuk sewaan pakaian, majlis berinai, jurufoto, cenderahati dan majlis resepsi,” katanya kepada Bernama sempena majlis resepsi 11 pengantin dari seluruh negara di Masjid Muhammadiah di sini, hari ini. 

Majlis resepsi yang berlangsung meriah selama lima jam bermula pukul 11 pagi anjuran Wahyu Catering dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan pihak pengurusan masjid dirasmikan Ketua Srikandi Perak Norhaslinda Zakaria. 

Bercerita lebih lanjut, Nur Idayu berkata selaku penganjur majlis, program pernikahan dan resepsi beramai-ramai itu bertujuan membantu pasangan khususnya golongan muda yang kurang berkemampuan selain menggalakkan majlis perkahwinan dilaksanakan mengikut syariat Islam.

“Saya tidak mempedulikan kata-kata orang kerana saya gembira dapat membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung pasangan dan keluarga pengantin serta mempermudahkan urusan perkahwinan,” katanya yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata. 

Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat keluarga yang tidak setuju dengan penganjuran majlis pernikahan dan resepsi beramai-ramai sehingga ada yang terpaksa membatalkan penyertaan walaupun bayaran pendahuluan telah dibuat. 

“Lebih 20 pasangan muda telah membatalkan penyertaan kerana keluarga mereka enggan mengadakan majlis perkahwinan secara beramai-ramai walaupun tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengadakan majlis sendiri sehingga ada pasangan yang sanggup memutuskan tali pertunangan.

“Saya harap orang ramai mempunyai kesedaran dan mengubah mentaliti begini kerana program ini dapat memudahkan urusan perkahwinan dengan kos yang rendah dan mengelakkan berlakunya maksiat dalam kalangan orang muda,” katanya.

Sementara itu, Sazleen Mokhtar, 23, berkata beliau dan pasangannya Muhd Asyraf Hilmi Mohd Asri, 26, memilih untuk menyertai program itu kerana mudah dan menjimatkan perbelanjaan memandangkan semua keperluan termasuk jamuan disediakan. 

“Mengenai perspektif orang ramai, kebanyakan masyarakat pada hari ini sudah berfikiran terbuka dan mereka akan memahami lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya yang berasal dari Ulu Kinta dan bekerja sebagai jurujual.

Nordaliah Md Daud, 33, yang bekerja sebagai polis bantuan pula berkata beliau dan pasangannya Nik Mohammad Azhari Azmi, 25, memilih untuk berkahwin secara beramai-ramai melalui program itu setelah melihat penganjurannya yang amat meriah sebelum ini.

“Bagi saya majlis perkahwinan seperti ini lain daripada yang lain malah pengurusan majlis juga teratur dan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak mengenai perkahwinan beramai-ramai kerana ingin menjimatkan kos perkahwinan, Nordaliah yang berasal dari Rawang, Selangor berkata keputusan itu bergantung kepada setiap individu dan tidak perlu mengendahkan kata-kata orang lain demi kebaikan kepada diri sendiri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel