Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM6.25 juta perluaskan projek tanaman kenaf


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





JASIN, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Industri Utama memperuntukkan sebanyak RM6.25 juta bagi memperluaskan projek tanaman kenaf di seluruh negara bagi mencapai sasaran pengeluaran gentian dan benih komoditi itu seluas 2,500 hektar, tahun ini.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata selain itu, kerajaan turut menyediakan Insentif Penanaman Kenaf bernilai RM2,385 sehektar bagi pengeluaran gentian dan RM2,955 bagi benih.

Beliau berkata Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti masing-masing di samping menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti pemprosesan kenaf.

"Inisiatif ini bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kebolehpasaran produk dan inovasi berasaskan kenaf yang mempunyai nilai tambah selain meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran.

Kita sentiasa menggalakkan syarikat dalam dan luar negara untuk menjalinkan kerjasama seterusnya membuat pelaburan dalam industri komoditi yang sedang berkembang baik ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Merlimau di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsuddin Noor.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya berkata Melaka dilihat berpotensi tinggi menjadi pengeluar terbesar industri kenaf negara mengikut kesesuaian tanah berikutan asas bagi mengusahakan tanaman berkenaan adalah di kawasan landai.

"Keadaan tanah yang subur di negeri ini membolehkan penanaman di tapak berkeluasan 150 hektar yang mana dapat menghasilkan sekurang-sekurangnya 1,000 tan tidak termasuk gentian," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel