Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belia digalak sertai KRT - MD Farid


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Golongan belia digalak menyertai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan perumahan masing-masing bagi mengisi masa lapang selain mendedahkan diri dengan nilai kemasyarakatan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata penglibatan golongan belia dalam pengurusan KRT juga dapat melatih mereka  menjadi pemimpin pada masa akan datang. 

"Dalam kepimpinan di peringkat KRT, ramai pimpinan yang telah bergiat sekian lama sejak berpuluh tahun, mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas.

“....jadi saya minta anak-anak muda melibatkan diri dalam KRT dan gunakanlah mereka (pemimpin lama) untuk sama-sama menimba pengalaman dan ilmu bagaimana untuk menjadi pemimpin masyarakat serta menggerakkan KRT di peringkat akar umbi," katanya.

Md Farid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Perpaduan di Hati peringkat Zon Utara serta Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perak di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Md Farid berkata kira-kira 30 peratus daripada 8,200 KRT di seluruh negara tidak aktif disebabkan beberapa faktor antaranya kemudahan logistik dan keadaan geografi, manakala 20 peratus lagi sederhana aktif dan usaha menghidupkannya semula sedang dipergiat. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menaikkan peruntukan untuk KRT yang ketika ini hanya menerima RM6,000 setahun kerana melihat jumlah tersebut tidak mencukupi  bagi menganjurkan pelbagai aktiviti dan program.

"Kita memang minta (kerajaan) supaya naikkan peruntukan tetapi proses itu akan memakan sedikit masa sebelum ia diluluskan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Md Farid berkata JPNIN akan menganjurkan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan selama dua hari di Kuala Lumpur bermula 20 Julai ini dan ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel