Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usul wajibkan Anggota Parlimen isytihar harta dibentang di Dewan Rakyat esok


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Satu usul bagi mewajibkan semua Anggota Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan pendapatan dan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan dibentangkan pada sesi Sidang Dewan Rakyat esok. 

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata usul itu akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, sebagai usaha dan reformasi dalam membanteras rasuah dalam negara.

Katanya usaha kerajaan Pakatan Harapan menangani rasuah dengan menggalakkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan pendapatan serta harta, tidak mendapat kerjasama daripada pembangkang. 

"Kerajaan telah tunggu setahun, tapi masih belum ada pembangkang sama ada UMNO, MCA, MIC atau PAS, yang mengisytiharkan harta dan aset mereka. 

"Jika PM (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dah isytihar, mengapa Anggota Parlimen lain tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Biasa Wanita DAP Perak di sini, hari ini yang dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching selaku Timbalan Ketua Wanita DAP Kebangsaan. 

Semakan Bernama di dalam Portal Perisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM setakat pukul 2 petang ini, mendapati seramai 124 Anggota Parlimen kerajaan atau 89.2 peratus, telah mengisytiharkan harta mereka, manakala 10.8 peratus atau 15 orang belum berbuat demikian. 

Sementara itu, tiada nama mana-mana Anggota Parlimen pembangkang, yang telah mengisytiharkan harta mereka ditemukan dalam ruangan carian. 

Menjelas lanjut, Nga yang juga Pengerusi DAP Perak serta Anggota Parlimen Teluk Intan berkata sekiranya usul tersebut diluluskan, mana-mana Anggota Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Katanya adalah diharapkan usaha menangani rasuah itu juga dapat diperluas dan dilaksanakan di Dewan Negara, dengan melibatkan Senator. 

"Dengan langkah ini, kita dapat tingkatkan kedudukan negara yang kini di tangga ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan, pada 2018," katanya. 

Kira-kira 100 perwakilan dari seluruh Perak hadir konvensyen itu, yang menyaksikan enam usul dibentang dan dibahaskan, antaranya menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak subsidi kepada pusat asuhan kanak-kanak dan kemudahan pusat jagaan warga emas, bagi membantu mengurangkan beban keluarga. 

Turut dibahaskan usul meminta kerajaan menyelesaikan isu melibatkan kanak-kanak tanpa warganegara.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel