Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Johor pada peringkat akhir muktamadkan semakan semula cukai tanah


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





ISKANDAR PUTERI, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Johor pada peringkat akhir memuktamadkan semakan semula kadar cukai tanah di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata kali terakhir pindaan cukai tanah dibuat adalah pada 2004 dan kerajaan negeri berpendapat cukai berkenaan perlu diperhalusi serta ditambah baik selepas tempoh 15 tahun.

"Semakan semula dan pindaan cukai tanah ini bertujuan merangsang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri di samping boleh meningkatkan hasil kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (PH-Skudai) berhubung perancangan kerajaan negeri dalam usaha memperluas jenis hasil supaya dapat memperkukuhkan kewangan negeri ini.

Dr Sahruddin berkata semakan semula cukai tanah itu sudah pasti akan menyaksikan peningkatan hasil tanah di negeri ini sekali gus memberi manfaat kepada pertambahan program dan projek ke arah kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pentadbir tanah di negeri ini dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang merangka pelaksanaan kajian khusus bagi menstrategi pentadbiran tanah ke arah memaksimumkan pendapatan yang lebih mampan.

Apa yang pasti, kerajaan negeri akan memastikan semakan semula dan pindaan cukai tanah itu tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan B40, katanya.

Selain semakan kadar cukai tanah, Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri juga sedang dalam proses akhir menyemak kadar bayaran lesen hiburan dan menilai semula pegangan bercukai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan hasil.

"Suka saya nyatakan di sini bahawa prestasi kewangan Kerajaan negeri Johor berada pada kedudukan baik.

"Berdasarkan Laporan Kewangan Negeri Johor berakhir 31 Dis 2018 yang sedang diaudit oleh Jabatan Audit Negara, anggaran jumlah akaun hasil disatukan adalah sebanyak RM1.54 bilion manakala jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM1.53 bilion,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel