Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 100,000 pelancong berkunjung ke Muzium Penjara Melaka


Tarikh kemaskini: 30/06/2019




MELAKA, 30 Jun (Bernama) -- Lebih 100,000 pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Muzium Penjara Malaysia yang terletak di Bandar Hilir di sini sejak mula dibuka pada lima tahun lepas.

Penolong Penguasa Penjara, Muzium Penjara Malaysia Inspektor Mohd Asmadi Azlan berkata pihaknya turut menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung ke muzium yang memberi pendedahan mengenai kehidupan banduan di penjara itu bersempena Tahun Melawat Melaka 2019. 

Beliau berkata Muzium Penjara Malaysia memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri suasana dalam sel banduan yang mampu memberi kesan psikologi terutama kepada pelajar agar menjauhi kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

"Kita juga melakukan simulasi agar peserta termasuk pelajar sekolah diberi kesedaran dan mendapat pendedahan awal mengenai kehidupan harian banduan di dalam penjara, malah dapat merasai pengalaman (masuk sendiri) ke sel penjara yang sempit.

 "Selain itu, mereka turut berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana hukuman yang dilaksanakan kepada pesalah termasuk sebatan," katanya kepada Bernama pada program 'Masih Ada Yang Sayang' di sini, hari ini. 

Program melibatkan 52 anak yatim dari Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah Bukit Katil, di sini dan Pusat Jagaan Amal Asyura Sungai Buloh, Selangor itu dikendalikan 34 pelajar Pendidikan Jarak Jauh, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.

Mengenai program 'Masih Ada Yang Sayang', Mohd Asmadi berkata selain memberi pendedahan mengenai kehidupan di penjara, ia juga bertujuan meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf yang perlu diberi perhatian memandangkan mereka merupakan golongan yang kurang bernasib baik. 

“Objektif utama kita adalah memberi kesedaran, pendedahan dan peluang kepada anak-anak yatim dan masyarakat bagi melihat sendiri keadaan sebenar di dalam penjara supaya dapat mengambil iktibar sekali gus mengatasi masalah sosial yang kian meruncing.

“Selain itu, kita juga memberi sokongan dari segi psikologi dan spiritual kepada mereka bagi melahirkan impak yang positif dalam membentuk pembangunan masyarakat dan membantu memotivasikan golongan ini serta pelajar dalam menuju kecemerlangan dan sahsiah diri,” katanya.

Muzium Penjara Malaysia dibuka pada Selasa hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 5 petang dan tutup pada Isnin, manakala bayaran yang dikenakan hanya antara RM1 hingga RM3 kepada pelancong tempatan dan RM6 kepada pelancong asing.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel