Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nisbah doktor, katil di Johor masih belum capai sasaran - Exco


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





ISKANDAR PUTERI, 30 Jun (Bernama) -- Nisbah doktor dan katil kepada populasi di negeri ini pada ketika ini masih belum mencapai sasaran Kementerian Kesihatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Warisan dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Johor tahun lepas, nisbah doktor kepada populasi adalah 1:1,199 manakala nisbah katil kepada populasi adalah 1.44:1,000 populasi.

"Merujuk Rangka Kerja Pelan Strategik Kepakaran dan Subkepakaran Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020), nisbah ini belum mencapai sasaran kementerian secara keseluruhan yang ditetapkan iaitu nisbah doktor kepada populasi dengan indikator 1:400 manakala nisbah katil kepada populasi adalah 2.3:1,000 populasi," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang memohon penjelasan status terkini perkhidmatan kesihatan di negeri ini selain ingin mengetahui jumlah hospital kerajaan dan swasta serta bilangan katil serta jumlah doktor dan jururawat.

Menurut Mohd Khuzzan, terdapat 12 hospital kerajaan di negeri ini yang meliputi enam hospital pakar, satu institusi psikiatrik serta lima hospital tanpa pakar.

Beliau berkata jumlah keseluruhan katil di hospital kerajaan di negeri ini adalah sebanyak 4,068 katil manakala 18 hospital swasta pula sebanyak 1,090 katil.

Katanya terdapat 2,659 doktor bertugas di hospital dan klinik kerajaan manakala 486 doktor di hospital swasta dengan jumlah keseluruhan 3,145 doktor yang memberi perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital bagi keseluruhan 3.77 juta penduduk di negeri ini.

"Bagi jururawat pula, seramai 8,390 orang bertugas di fasiliti kerajaan manakala 2,035 bertugas di hospital swasta dengan jumlah keseluruhan pemberi perkhidmatan kesihatan seramai 10,425 jururawat," katanya.

Menurut Mohd Khuzzan, sumber manusia merupakan satu daripada kekangan yang dihadapi dalam usaha mencapai sasaran nisbah doktor yang ditetapkan.

"Antara langkah yang dijalankan oleh kerajaan untuk menambah bilangan doktor dan jururawat adalah dengan mempercepatkan masa menunggu kemasukan dalam perkhidmatan kerajaan dan kemasukan dalam perkhidmatan melalui perjawatan kontrak tidak perlu menunggu kekosongan perjawatan," katanya.

Mohd Khuzzan berkata kerajaan juga sudah meluluskan pembinaan Hospital Pasir Gudang dalam Rolling Plan Pertama RMK-11 dan ketika ini dalam proses penyediaan dokumen tender.

Pembinaan tersebut dijangka bermula pada tahun 2020 dan akan menempatkan 304 katil, katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel