Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

94 pendatang tanpa izin ditahan - Polis KL


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Seramai 94 pendatang asing tanpa izin ditahan, dalam operasi bersepadu mencegah jenayah warga asing di beberapa lokasi tumpuan mereka di sekitar ibu kota, hari ini dan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata operasi berkenaan yang bermula sejak 4 petang semalam sehingga 5.30 pagi tadi, melibatkan lokasi di sekitar kawasan Setapak, stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit dan Pasar Chow Kit.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di Sri Petaling, Jalan Alor, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak.

Beliau berkata pihaknya memeriksa seramai 271 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 90 lelaki dan empat wanita ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Paling ramai ditahan adalah lelaki warga Bangladesh iaitu 30 orang diikuti 28 lelaki warga Myanmar dan 10 lelaki warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata pihaknya juga menahan 11 pendatang tanpa izin dari beberapa negara di benua Afrika termasuk seorang wanita, manakala jumlah selebihnya adalah dari India, Nepal, Pakistan, Vietnam dan Yaman.

“Kesemua mereka diambil tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

“Tangkapan dalam operasi itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur, bersama enam pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.

“Operasi akan diteruskan bagi membanteras kebanjiran warga asing, sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah berpunca daripada warga asing,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang tanpa izin boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel