Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anak nelayan, peniaga pasar malam penerima tajaan PESP Petronas


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KUALA NERUS, 29 Jun (Bernama) -- "Saya mengimpikan kerjaya stabil untuk membantu kewangan keluarga, agar ayah tidak perlu lagi berniaga di pasar malam selepas ini," kata Wan Muhammad Nur Hisyam Wan Zakaria, 18.

Beliau yang bakal belajar di Australia, menanam hasrat itu dan bersyukur terpilih bersama-sama 39 pelajar anak Terengganu lain, menerima tajaan Petronas menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) tahun ini.

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit yang memperoleh 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 itu akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia dan mendapat tajaan biasiswa kira-kira RM700,000 daripada Petronas sepanjang lima tahun pengajian.

Anak kelima dari enam beradik itu berkata tajaan pendidikan Petronas itu bagai 'bulan jatuh ke riba' memandangkan beliau bukanlah berasal daripada keluarga yang senang.

"Saya bersyukur sangat dengan peluang ini kerana dapat menyambung pelajaran tanpa membebankan ibu bapa dalam soal kewangan. Semuanya dibiayai Petronas. Saya berazam akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk melakar masa depan yang cemerlang," katanya. 

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian anugerah tajaan PESP yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu,  Satiful Bahri Mamat di Institut Teknologi Petronas (Instep) di sini hari ini. 

Turut hadir, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman.

Bagi Nor Nadhirah Mohd Nor, 18, yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada September ini, tajaan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi mengejar cita-cita bergelar seorang jurutera.

"Saya tidak mahu ayah turun lagi ke laut menangkap ikan kerana beliau sudah tua. Tiba masanya saya membalas jasa kedua ibu bapa yang banyak berkorban selama ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada Petronas kerana dengan tajaan ini, ia membuka satu ruang untuk saya melangkah ke alam baharu yang menjanjikan kegemilangan pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Raiha Azni berkata Petronas memperuntukkan lebih RM156 juta membiayai pengajian 400 pelajar cemerlang SPM 2018, dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, geofizik, undang-undang dan kursus lain berkaitan minyak dan gas di UTP serta beberapa universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, Jepun dan China pada tahun ini.

"Kesemua 400 pelajar ini adalah mereka terpilih daripada 7,355 calon seluruh negara yang memohon biasiswa PESP pada tahun ini.

"Sumbangan penajaan ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan mereka di universiti nanti. Peruntukan ini diteruskan kerana kami percaya pelajar inilah yang akan meneruskan legasi dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan," katanya. 

Sejak 2003, seramai 842 anak kelahiran Terengganu ditaja di bawah program PESP. Sejak diperkenalkan pada 1975, secara keseluruhannya PESP telah memberi manfaat kepada lebih 36,800 pelajar dengan nilai tajaan lebih RM3.3 bilion.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel