pCltUxAXEtA Pembinaan jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai perlu disegerakan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai perlu disegerakan


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

NARATHIWAT, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memohon kepada Kementerian Kerja Raya supaya pembinaan jambatan antara Pengkalan Kubor, Kelantan dan Tak Bai di selatan Thailand disegerakan, kerana ia mampu merancakkan lagi sektor pelancongan antara dua negara itu.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau akan membawa usul kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian bagi membolehkan pembinaan jambatan berkenaan dapat dilakukan secepat mungkin.

“Saya difahamkan pihak sebelah Thailand telah bersedia dengan pembinaan jambatan. Saya akan bawa usul (disegerakan) pembinaan jambatan ini kepada Menteri Kerja Raya.

“Jika jambatan ini dibina dan siap ia akan membawa pelancong dengan lebih selesa, dari Thailand senang ke Malaysia dan sebaliknya...perjalanan dan perniagaan kedua-dua negara akan berjalan lancar kerana mereka tidak payah lagi naik feri,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja ke Thailand sempena Pesta Pelancongan Kebudayaan dan Sukan Dua Negara Malaysia - Thailand 2019 di sini, hari ini.

Pada Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Menurut Dr Wan Azizah, kedua-dua negara juga komited dalam merealisasikan pembinaan Jambatan Persahabatan dan menjangkakan majlis pecah tanah untuk pembinaan kedua-dua jambatan dapat dilakukan perdana menteri kedua-dua negara pada tahun ini.

Mengulas mengenai lawatan kerja dua harinya bermula semalam, Mohamaddin berkata ia langkah yang baik dan berkesan dalam mempromosikan Malaysia.

“Kita akan membuat jemputan balas kepada Gabenor Narathiwat (Ekkarat Leesen) di mana, masa dan tempat yang akan dikunjungi akan ditentukan kemudian,” katanya. 

Dalam lawatan itu juga, beliau turut dibawa melawat ke kediaman rasmi Gabenor, Wat Chong Thara Singhe dan Pasar Tani Takbai. 

Sementara itu, Ekkarat memberi jaminan keselamatan terhadap rakyat Malaysia yang berkunjung ke wilayah bergolak berkenaan. 

Beliau yang merupakan muslim pertama dilantik sebagai Gabenor Narathiwat berkata, jika dibandingkan tahun sebelum ini, keadaan di wilayah berkenaan semakin baik.

“...boleh dikatakan kejadian seumpama itu (keganasan) semakin kurang, ini kerana kerjasama polis, askar dan penduduk tempatan sendiri yang sama-sama jaga keselamatan supaya pelancong ke sini,” katanya yang dibantu isterinya Nosma Leesen sebagai penterjemah dalam temu bual itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel