Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Insiden pukul: guru, pelajar setuju berdamai


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




KUANTAN, 29 Jun (Bernama) -- Perselisihan faham antara seorang guru jasmani yang didakwa memukul seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, selesai apabila mereka saling bermaaf-maafan hari ini.

Majlis permuafakatan mereka berlangsung dalam suasana harmoni di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di sini, dengan disaksikan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Razali Mustafa dan bapa pelajar itu. 

Mohd Razali berkata, pihaknya mengusahakan supaya perkara itu tidak berpanjangan dan berterima kasih kepada pihak yang terlibat kerana sanggup mengakui kesilapan mereka dan memilih jalan untuk berdamai. 

"Perkara ini diselesaikan secara baik dengan mengambil kira masa hadapan pelajar terlibat dan sebagai pendidik, sudah pasti kita mengharapkan supaya pelajar terlibat dapat meneruskan pelajaran dengan baik dan tanpa tekanan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, bapa pelajar itu juga menyatakan persetujuan untuk menarik semula laporan polis terhadap guru itu yang dibuat pada Rabu lepas, susulan penyelesaian yang dicapai. 

Media sebelum ini melaporkan seorang guru didakwa memukul pelajar dalam satu perselisihan faham akibat kerja sekolah sebelum berlaku pertukaran bahasa tidak sepatutnya antara kedua-dua mereka, pada Selasa lepas. 

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali yang mengesahkan kejadian berkata pihaknya sudah merakam percakapan kedua-dua pihak terlibat dan hanya menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel