Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kualiti air Sungai Melaka akan ditambah baik


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





MELAKA, 29 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) akan melaksanakan penambah baikan terhadap pengurusan Sungai Melaka terutama meningkatkan kualiti air dalam memastikan kebersihan dan keindahan sungai itu terus terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Azlan Abidin berkata pelaksanaan projek berkenaan dijangka akhir tahun ini dan bermula di muara Sungai Melaka yang merupakan antara daya tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

"Kita akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menambah baik sistem perparitan dan 'menghijaukan' sepanjang Sungai Melaka bagi meningkatkan ekosistem di kawasan berkenaan  sekaligus memelihara khazanah alam tersebut.

"Kita juga ingin melihat pelabur ataupun kontraktor untuk mencari kaedah berkesan bagi memastikan kawasan sungai bebas daripada pencemaran misalnya air berbau busuk," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra PPSPM dan Menara Taming Sari bersama Media Melaka di Banda Hilir di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Pengurus Besar Menara Taming Sari Dr Muhammad Md Nor dan Presiden Kelab Media Massa Melaka Suffian Abu Bakar.

Dalam pada itu, Azlan berkata PPSPM akan membaikpulih sistem baraj di muara Sungai Melaka menjelang akhir tahun ini bagi mengawal paras air di sungai berkenaan dan pada masa sama memastikan keselamatan penduduk setempat serta pengunjung terjamin.

Beliau berkata pihaknya telah memohon peruntukan sebanyak RM10 juta daripada Kerajaan Pusat dalam usaha menaiktaraf sistem baraj itu.

"Kita dah maklumkan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri pun maklum mengenai sistem baraj yang perlu diperbaiki semula agar kita dapat mengendalikan isu ini, namun kita juga prihatin terhadap pendduuk setempat yang mana jika berlaku hujan lebat melebihi dua jam, kita terpaksa membuka baraj.

"Tetapi apabila baraj dibuka keadaan air itu laju, oleh itu, demi keselamatan, kita terpaksa menghentikan operasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata PPSPM akan beroperasi di pejabat baharunya yang terletak di River Information Centre, Pengkalan Rama bermula Ogos depan. Ketika ini, pejabat tersebut terletak di Graha  Maju.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

OKU mengaku tidak salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung

 
     

Anggota JPJ Terengganu menyamar penumpang bas ekspres

 
     

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel