Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkhidmatan bas 'Hop On Hop Off' perlu dibanyakkan di Ipoh - MB Perak


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan bas Hop On Hop Off di sekitar bandar raya ini yang dimulakan operasinya pada 23 Mac lepas perlu diperbanyakkan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkhidmatan bas itu mendapat sambutan yang baik di Bandaraya Ipoh namun bilangan operasinya perlu ditambah dengan lebih kerap.

"Ini kerana jadual bas Hop On Hop Off agak terhad seperti pada waktu hujung minggu dan sebagainya, jadi perlu digalakkan lagi untuk menarik pelancong," katanya pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Kembara Media Perak 2019 di sini malam ini.

Program kembara media kali ke-11 anjuran Jabatan Penerangan itu disertai seramai 23 pengamal media tempatan bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi menjelajah tempat-tempat menarik di Perak.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri Perak juga sedang memperbanyakkan program yang menarik dalam usaha meningkatkan jumlah kemasukan pelancong melawat negeri ini.

"Kerajaan negeri sedang fokus kepada Bandaraya Ipoh kerana percaya sekiranya ia menjadi tumpuan pelancong, mereka juga boleh melawat ke tempat menarik yang lain di Perak seperti Lenggong, Pasir Salak, Lumut dan lain-lain yang terletak tidak terlalu jauh jadi mereka boleh melakukan lawatan dalam perjalanan seharian," katanya.

Beliau berkata tempahan tiket bagi penerbangan di Lapangan Terbang Pangkor yang akan beroperasi semula 1 Oktober ini juga mendapat sambutan amat menggalakkan setakat ini.

"Saya jangka lonjakan jumlah pelancong ke Perak akan meningkat dan yakin akan menerima pelancong tempatan yang tertinggi berbanding negeri lain terutamanya dari ibu negara dan Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel