Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan perlu pertimbang insentif cukai bagi pelaburan semula - Chow


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





GEORGE TOWN, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan Persekutuan meneruskan pemberian insentif cukai kepada pelabur yang melabur semula di negara ini bagi memastikan antaranya, pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah tersebut turut memberi peluang kepada Malaysia untuk berdaya saing berbanding negara-negara lain di rantau ini, sekali gus menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan pelabur untuk pelaburan semula.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan AVX Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Chow berkata kilang pembuatan seramik berbilang lapisan utama AVX, yang terbesar di dunia terletak di Pulau Pinang.

“AVX yang memulakan operasi di Pulau Pinang pada 1998 memilih untuk mengembangkan operasinya di negeri ini dengan pelaburan berjumlah RM600 juta dengan mewujudkan kemudahan baharu.

“Menerusi pengembangan tersebut, AVX akan menggandakan jumlah kakitangannya kepada 2,000 orang dalam tempoh dua tahun akan datang. Saya juga difahamkan AVX bekerjasama dengan universiti tempatan untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan dan menyediakan latihan dalaman dan di luar negara kepada para pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini pelaburan terkumpul di negeri itu berjumlah RM1 bilion.

Chow berkata kerajaan negeri turut komited untuk menyokong pelaburan berkualiti tinggi termasuk yang berkaitan teknologi pengganggu seperti Objek Rangkaian Internet, 5G, kecerdasan buatan dan realiti maya dan realiti terimbuh.

AVX Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat merupakan pengeluar dan pembekal terkemuka di peringkat antarabangsa yang mempunyai portfolio meluas bagi komponen elektronik canggih termasuk kapasitor, induktor, penapis, perintang, pengganding, diod dan peranti perlindungan litar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel