Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek LRT Bayan Lepas tidak akan sentuh kawasan masjid, perkuburan, kata TKM Pulau Pinang


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





GEORGE TOWN, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju jajaran transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas dibina mengikut pelan asal, dan tidak akan mengambil atau menggunakan ruang udara Masjid Jamek Sungai Nibong Besar serta tanah perkuburan di situ.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang bermesyuarat hari ini bersetuju dengan cadangan Jajaran LRT berhampiran tapak kubur dan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar diletakkan bersebelahan dan selari dengan jejambat Jalan Sultan Azlan Shah.

"Berikutan itu kami (Kerajaan Negeri) dan MAINPP telah mengadakan mesyuarat dan bersetuju jajaran LRT yang dicadangkan itu tidak memasuki 'walau seincipun' kawasan kubur dan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar baik yang berada di atas tanah mahupun ruang udara keduanya," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya Kerajaan Negeri sentiasa komited dan menghormati setiap garis panduan hukum hakam Islam yang diputuskan oleh Jawatan Kuasa Fatwa sebelum membuat sebarang keputusan rasmi bagi cadangan jajaran LRT Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.

Minggu lepas, beberapa laporan di media sosial mendakwa jajaran LRT Bayan Lepas akan mengambil kira-kira 20 peratus tanah wakaf masjid berkenaan dan melalui kawasan tanah perkuburan di situ, yang sedang dirancang pembinaannya.

Terdahulu dari itu, lebih 100 anggota kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar mengadakan bantahan aman di hadapan KOMTAR, susulan cadangan pembinaan jajaran LRT berdekatan masjid dan tanah perkuburan.

Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pelaksana projek pembinaan masjid itu diminta memastikan jadual asal pelaksanaan projek itu tidak terjejas.

"Kerja pembinaan yang terhenti sebelum ini akan diteruskan segera dan mengikut jadual asal, kerja-kerja menanam cerucuk akan bermula pada pertengahan bulan Ogos ini. JKR telah memberikan pengesahan perubahan itu tidak akan menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek pembinaan masjid berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi dan Wakaf Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Mohamad Zahary Sheikh Abd Rahman yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata isu itu dianggap selesai selepas pengumuman keputusan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

"Kami anggap isu ini selesai dengan jaminan kerajaan negeri tidak akan mengambil walau seinci pun tanah wakaf masjid dan kubur. Kami berterima kasih kepada pihak MAINPP dan kerajaan negeri kerana mengambil maklum akan keluh kesah ahli kariah dan waris, sepanjang masalah ini timbul,” katanya.

Cadangan projek LRT itu terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang meliputi jarak 30km dan 27 stesen dari Komtar ke pulau tebus guna yang akan dibina di selatan bahagian pulau negeri ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel