Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gagal capai penyelesaian luar mahkamah, rayuan diteruskan


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lagi gagal mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘Abdullah’ dalam sijil kelahiran.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili pasangan suami isteri Islam dan anak terbabit, berkata beliau dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili pihak kerajaan, bahawa penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan dengan kes rayuan tersebut.

Perkara tersebut dinyatakan semasa pengurusan kes menerusi sistem E-Semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Norhafizah Zainal Abidin, hari ini.

Berikutan perkembangan itu, tujuh panel hakim Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran semua rayuan JPN terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, 16 Ogos ini.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada pasangan dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman tersebut, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 Sept 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, Ketua Pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel