Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis rampas 8,125 karton rokok putih bernilai RM490,000


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





TANGKAK, 28 Jun (Bernama) -- Polis merampas 8,125 karton rokok putih seludup bernilai anggaran RM490,000 tidak termasuk cukai dalam satu serbuan ke atas sebuah lori tiga tan yang ditinggalkan di Pekan Grisek di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri berkata bertindak atas maklumat awam, kira-kira 12 tengah hari sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) telah melakukan pemantauan selama lima jam pada kenderaan terbabit yang dibiarkan di kawasan tanah lapang berhampiran Kuarters Klinik Kesihatan Grisek.

Beliau berkata, setelah mendapati tiada pihak yang mendekati lori itu, polis telah membuat pemeriksaan awal dan mendapati ia dikunci manakala bahagian ruang penyimpanan barang terdapat kotak-kotak rokok yang hanya ditutup dengan kanvas.

"Lori terbabit kemudiannya dibawa balik dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 79 kotak rokok jenama 'John White' dan 116 kotak rokok jenama 'John JGI' yang setiap satunya berisi 500 kotak kecil namun tidak menemui sebarang barang-barang peribadi.

"Dipercayai rokok tersebut dibawa untuk pasaran tempatan dan pihak kita masih menyiasat sama ada ia dibawa menerusi jalan perairan atau jalan darat," katanya ketika ditemui pemberita di IPD Tangkak, di sini hari ini.

Mohad Idris berkata, hasil semakan juga mendapati lori itu didaftarkan atas sebuah syarikat di Ulu Tiram, Johor Bahru dan usaha mengesan suspek serta pemilik sebenar lori masih diteruskan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 Seksyen 135 (1) (d) yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam jika sabit kesalahan atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Kita juga menggesa kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel