Isu berkaitan pembiayaan PFI perlu jelas - KM P.Pinang
Tarikh kemaskini: 28/06/2019

GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan perlu menyelesaikan isu berkaitan ekuiti dan operasi lapangan terbang di seluruh negara sekiranya ia berhasrat untuk melaksanakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi pembiayaan sebarang projek, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau berkata sekiranya projek itu akan dibiayai oleh sektor swasta menerusi PFI, jadi syarikat swasta berkenaan pasti berhasrat untuk mengoperasikannya bagi mendapatkan pulangan hasil.
"Lapangan terbang ketika ini di bawah pengurusan syarikat konsesi, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Bagaimana caranya anda nak berikan kembali pulangan hasil kepada pihak PFI sekiranya anda tidak menyerahkan operasi lapangan terbang itu kepada syarikat PFI. Isu ini perlu diselesaikan,” katanya dalam persidangan media hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan pembukaan Siemens Digital Industries Software Office dan melancarkan Technical Competency Hub di Bayan Lepas, dekat sini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas pelaksanaan Mesyuarat ke-21 Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya yang dihadirinya semalam.
Chow berkata isu itu juga memberi kesan kepada projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kerana ia masih belum diselesaikan lagi.
Beliau berkata secara prinsipnya projek menaik taraf dan perluasan LTAPP telah diluluskan, namun pelannya masih belum dihantar kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) bagi memulakan kerja-kerjanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Chow berkata beliau gembira dengan keputusan Siemens untuk melebarkan rangkaian perniagaan ke Pulau Pinang.
"Saya diberitahu Pulau Pinang dipilih kerana ia memiliki kumpulan tenaga kerja yang berbakat besar dari segi teknikal dan juga kemahiran, dan sudah pasti jua kerana kestabilan ekonomi dan politiknya.
"Pulau Pinang tidak syak lagi adalah hub sektor pembuatan utama di rantau ini dan kerajaan negeri telah menarik pelaburan yang berkualiti tinggi sejak berdekad lamanya,” katanya.
Beliau berkata Pulau Pinang menempatkan kira-kira 350 syarikat multinasional, di samping memiliki lebih 3,000 kilang yang berkaitan dengan syarikat kecil dan sederhana, yang mewujudkan ekosistem yang teguh dalam menjadikan ia lebih berdaya saing.
-- BERNAMA
|