Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatan di sektor swasta meningkat 82,000 kepada 8.55 juta pada suku pertama 2019


Tarikh kemaskini: 28/06/2019




PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Jumlah jawatan di sektor swasta meningkat sebanyak 82,000 kepada 8.55 juta pada suku pertama 2019 daripada 8.47 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kadar jawatan diisi kekal pada 97.7 peratus (8.35 juta) dan kadar kekosongan jawatan adalah 2.3 peratus (201,000).

“Pada tempoh yang sama, sebanyak 23,000 jawatan diwujudkan oleh sektor swasta berbanding 29,000 pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan mengenai statistik guna tenaga suku tahun pertama 2019 yang diterbitkan hari ini.

Penerbitan itu memaparkan statistik permintaan buruh di sektor swasta meliputi jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut sektor ekonomi utama dan kategori kemahiran sehingga suku pertama 2019.

Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jawatan ditawarkan dengan 51.9 peratus, diikuti pembuatan (26.2 peratus) dan pembinaan (15.2 peratus).

“Sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian pula masing-masing mewakili 5.8 peratus dan 1.0 peratus. Dari segi kekosongan pula, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 54.3 peratus berbanding sektor perkhidmatan dengan 21.3 peratus.

“Namun, lebih daripada 50 peratus pewujudan jawatan pada suku ini adalah dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, Mohd Uzir berkata jawatan didominasi oleh kategori separuh mahir dengan sumbangan 62.3 peratus, diikuti kategori mahir (24.3 peratus) dan berkemahiran rendah (13.4 peratus).

Katanya lebih daripada 50 peratus kekosongan jawatan adalah bagi kategori separuh mahir manakala kategori mahir mencatatkan 23.3 peratus.

Sementara itu, pewujudan jawatan bagi kategori separuh mahir pada suku tersebut menyumbang 49.1 peratus diikuti kategori mahir yang mewakili 44.9 peratus.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel