Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usah boikot jualan durian timbang, kata Ketua Pengarah FAMA


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Peminat durian diminta usah memboikot peniaga yang menjual durian mengikut kaedah timbang kerana strategi sistem pemasaran telah berubah, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.

Sistem pemasaran ‘timbang kilo’ buah durian telah diterima pakai dan menjadikan harga pasaran durian terutamanya dari ladang dilihat lebih kompetitif berbanding sebelumnya, katanya.  

“Dulu harga jualan durian kampung di ladang sangat rendah dan dijual secara membilang (pukal) kepada peraih. Tapi sekarang peladang memasarkan durian kepada penjual melalui timbangan dan bayaran pada harga kilo.

“Jadi ini telah memudahkan sistem perkiraan serta adil. Sebab itulah juga peniaga menjual durian dengan harga timbang dan jarang lagi menjual kaedah longgok,” katanya ketika ditemui pada Program My Best Buy (MBB) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang turut dihadiri Pengerusi FAMA Ishak Ismail di perkarangan ibu pejabat FAMA di Selayang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas akan kempen di media sosial yang mengajak orang ramai memboikot durian timbang sebagai tanda protes kerana harga durian boleh mencecah sehingga RM100 sebiji jika dijual mengikut cara itu.

Ada pengguna laman sosial mendakwa kulit buah itu sahaja sudah mencecah beberapa kilogram (kg) dan ini yang menjadi punca orang ramai memboikot durian timbang.

Menurut Ahmad, kaedah jualan longgok dilihat tidaklah begitu adil buat pembeli kerana jika tidak bertuah, pembeli berkemungkinan mendapat buah yang rosak dan eloklah membeli durian timbang dengan meminta peniaga membelahnya supaya dapat melihat isinya dahulu.

Malah jelasnya soal harga durian semasa bergantung kepada permintaan dan penawaran serta peminat raja buah itu dinasihatkan membuat pilihan bijak dengan membeli durian ketika musim buah.

Dalam pada itu, FAMA menyasarkan nilai jualan RM5 juta bagi program JTDL pada tahun ini berikutan jualan sebanyak RM3.26 juta telah direkodkan pada tahun lepas dengan penglibatan 819 usahawan tani.

Ahmad berkata sejak awal tahun sehingga Mei, FAMA merekodkan nilai jualan hampir RM2 juta dengan 421 usahawan tani.

"Dengan berbaki enam bulan lagi, kita giat mengatur pelbagai program termasuk mencari lokasi pemasaran yang baharu, menjalinkan kerjasama dengan lapan lagi pasar raya tahun ini,” katanya.

JTDL yang membabitkan peserta Ladang Kontrak dijalankan sekali setiap minggu di beberapa lokasi terpilih setiap daerah dengan harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel