Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Naik taraf infra jeti nelayan Tanjung Piai terima peruntukan RM3 juta


Tarikh kemaskini: 28/06/2019




JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Projek menaik taraf dan menambah baik kemudahan infrastruktur jeti-jeti nelayan di sekitar Tanjung Piai, dekat Pontian, menerima suntikan RM3 juta daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, baru-baru ini.

Berkongsi berita gembira itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata peruntukan itu diluluskan setelah pihaknya mengemukakan permohonan bagi tujuan projek berkenaan.

Md Farid yang juga Anggota Parlimen Tanjung Piai itu berkata permohonan bagi mendapatkan peruntukan itu dibuat setelah perbincangan mengenai isu-isu yang dihadapi oleh golongan nelayan di kawasannya dilakukan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 Jun lepas.

“Hasil permohonan tersebut, peruntukan berjumlah RM3 juta telah diluluskan. Projek menaik taraf dan menambah baik kemudahan infrastruktur ini pula akan dijalankan dengan pemantauan daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Antara isu yang turut dibincangkan bersama adalah mengenai Bantuan Sara Hidup Nelayan, kesukaran memperbaharui lesen selain turut menyentuh mengenai kaedah dan cara terbaik meningkatkan ekonomi para nelayan di Tanjung Piai.

Selain itu, beliau berkata LKIM telah bersetuju untuk mempertimbangkan semula permohonan Bantuan Sara Hidup kepada nelayan dan meminta agar mana-mana permohonan oleh nelayan yang gagal atau ditolak, supaya mengemukakan rayuan kembali kepada lembaga itu.

Selain itu, beliau berkata LKIM juga telah bersetuju untuk berbincang bersama persatuan-persatuan nelayan bagi mengenal pasti inisiatif-inisiatif ekonomi yang bersesuaian dan boleh dilaksanakan bersama pihak persatuan. 

Md Farid turut memohon kerjasama daripada ketua-ketua pangkalan nelayan untuk mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan membuat hebahan kepada nelayan di bawah selian masing-masing.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel