Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peguam bebas perlu wakili KPKT dan JPBM dalam inkues Adib


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan perlu melantik seorang peguam bebas dan bukan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Zainal Wagimin berkata ini kerana tindakan AGC menamatkan perkhidmatan Syazlin Mansor yang mewakili KPKT dan JPBM dilihat mencampuri perjalanan prosiding inkues.

"Sebagai pesara bomba kami berasa amat sedih dan terkilan dengan tindakan berkenaan, dia (Syazlin) telah menjalankan tugas dengan baik.

"Pada hemat kami juga bomba tidak seharusnya diwakili peguam dari AGC kerana bomba seharusnya berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya, Adib mati ketika menjalankan tugas dan kematiannya harus dibela oleh bomba dan pesalah harus dihukum," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Zainal, pihak bomba perlu terus perjuangkan keterangan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang mengesahkan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perusuh.

"JBPM perlu bersatu hati menentang teori kononnya Adib dilanggar, maka amat tidak kena dan salah jika sekarang JBPM ingin menukar pendirian dan arah," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Koroner pada Rabu lepas diberitahu mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili KPKT dan JPBM dalam pendengaran inkues berkenaan.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel