Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Majlis Bandaraya Ipoh rampas hampir 500 biji durian.


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Hampir 500 biji durian dirampas penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan berkaitan aktiviti menjual durian tidak berlesen di beberapa lokasi di sini sejak minggu lepas.

Majlis Bandaraya itu dalam kenyataan hari ini berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah nasihat yang diberikan sebelum ini tidak diendahkan peniaga-peniaga terbabit.

Lima peniaga durian di sekitar kawasan perniagaan Limau Tambun itu telah diarahkan berpindah ke tempat lain yang lebih sesuai dengan serta merta bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan pada Jumaat lepas, katanya.

“Hasil pemeriksaan di sekitar Taman Lebuh Perajurit pula mendapati lima peniaga durian memiliki lesen perniagaan buah-buahan bermusim yang sah daripada MBI manakala lima peniaga yang lain tidak memiliki lesen.

Peniaga berkenaan telah diarahkan untuk berpindah ke tempat yang dibenarkan serta memohon lesen perniagaan buah-buahan bermusim manakala sebuah khemah peniaga pula telah disita kerana ketiadaan peniaga pada masa pemeriksaan dijalankan oleh MBI,” kata kenyataan itu.

Video berdurasi 67 saat dan beberapa gambar menunjukkan sepasukan penguatkuasaan MBI merampas buah durian dan khemah peniaga dalam satu operasi di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Hentian Limau Tambun tular di media sosial hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, sitaan ke atas khemah dan buah-buahan akan terus dilaksanakan sekiranya aktiviti berkenaan masih berulang di kawasan sama pada masa hadapan.

"Tindakan penguatkuasaan adalah tindakan terakhir diambil oleh MBI setelah kaedah nasihat tidak diendahkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, 50 anggota penguatkuasa MBI telah menjalankan operasi menyita peniaga durian tanpa lesen yang masih berdegil dengan menjalankan perniagaan berhampiran Gerai Limau Tambun semalam.

Katanya lima peniaga yang terdiri daripada empat peniaga durian dan seorang peniaga minuman telah diambil tindakan sitaan setelah ingkar arahan yang dikeluarkan dan masih berniaga di tempat berkenaan.

"Dua peniaga telah membuat tuntutan ke atas barangan yang telah disita dan MBI telah mengurangkan kadar denda sitaan kepada dua peniaga yang telah membuat tuntutan ke atas barangan yang disita daripada RM450 kepada RM200," katanya.

Tindakan penguatkuasaan diambil susulan terdapat banyak rungutan berkaitan kesesakan lalu lintas disebabkan oleh kenderaan yang berhenti untuk membeli buah-buahan tersebut.

Perbuatan itu juga katanya boleh mengundang bahaya kepada nyawa pengguna lalu lintas yang lain yang mengguna jalan terbabit.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seri Manjung lokasi baharu catat IPU sangat tidak sihat

 
     

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel