Karnival Stem Pulau Pinang selama empat hari bermula 1 Julai
Tarikh kemaskini: 27/06/2019

GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Penang STEM Sdn Bhd akan bekerjasama buat kali pertama menganjurkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pulau Pinang 2019 yang akan berlangsung selama empat hari mulai Isnin hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy hari ini berkata karnival di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tuanku Bainun itu akan dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang pelajar sekolah menengah dan rendah serta guru-guru.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, dan Sains dan Teknologi negeri berkata usaha itu bertujuan menarik minat para pelajar dalam bidang STEM yang kini dilihat semakin kurang mendapat perhatian para pelajar.
"Pengajaran sains dan matematik di sekolah mungkin membosankan dan lama-kelamaan menjadikan pelajar tidak minat. Kita tidak boleh menanam minat melalui buku semata-mata tetapi melalui latihan, eksperimen dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di sini.
Katanya karnival ini akan merangkumi aktiviti-aktiviti pameran, bengkel, pertandingan dan ceramah dalam bidang STEM supaya selari dengan misi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang berkenaan khususnya untuk memacu dan menyokong agenda ekonomi digital dan Industri 4.0nya.
Ramasamy berkata seramai 174 orang pelajar sekolah menengah dan 179 pelajar sekolah rendah di seluruh Pulau Pinang akan bertanding dalam 11 pertandingan STEM, dan tujuh pertandingan teknologi hijau selain menghadiri bengkel, pameran, dan ceramah.
Sementara itu Pengarah JPNPP Mahanum Mat Isam berkata pelajar-pelajar yang memenangi pertandingan-pertandingan berkenaan atau menunjukkan prestasi yang memberansangkan akan dibimbing untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat yang lebih tinggi.
"Setakat Jun sahaja, kita sudah ada lapan pelajar dari Pulau Pinang yang menyertai dan memenangi pertandingan-pertandingan di peringkat antarabangsa. Untuk kali ini sekiranya ada bakat-bakat yang ditemui, kita seperti biasa akan membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Menurutnya Karnival STEM merupakan aktiviti tahunan JPNPP yang turut bertujuan membimbing guru-guru tentang kaedah pengajaran dalam bidang itu.
-- BERNAMA
|