Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bawa masuk lebih banyak jaguh bola keranjang


Tarikh kemaskini: 27/06/2019




KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) patut menganjurkan  lebih banyak klinik kejurulatihan dan interaksi dengan bekas jaguh bola keranjang untuk memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda di dalam negara ini.

Cappie Pondexter yang merupakan sebahagian daripada pemain pasukan wanita  Amerika Syarikat yang memenangi pingat emas Olimpik 2008 di Beijing China, berkata dengan membawa masuk lebih banyak duta dan lagenda bola keranjang, pemain muda ini akan mendapat inspirasi untuk mengikut jejak langkah mereka untuk meraih pencapaian yang lebih baik. 

“Membawa masuk pemain muda dan duta bola keranjang dari negara lain ke sini secara berterusan untuk memberi inspirasi kepada remaja, kerana selalunya mereka tidak melihat contoh, sukar bagi mereka sebenarnya  untuk melihat dan percaya … saya rasakan saya dan Reid (J R Reid) melakukan tugas dengan baik untuk memberikan mereka keyakinan dan menyiapkan diri untuk menjadi atlet profesional.  

Kepentingan memberikan inspirasi kepada belia di Malaysia ialah memberikan mereka peluang bahawa apa sahaja yang mereka impikan dan percaya, mereka boleh menjadikannya realiti. Anda tahu ia tidaklah sukar sangat, saya fikir kerana itulah kami berada di sini, “ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pasukan lelaki negara kini di tangga ke-113 dalam ranking dunia dari 165 negara anggota Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) dan ke-25 di Asia sementara pasukan wanita di kedudukan ke-48 dunia daripada 79 negara dan ke-10 di Asia.

Dua jaguh Amerika itu melawat Rumah Titian Kaseh dan mengendalikan klinik kejurulatihan kepada kira-kira 100 jurulatih, guru-guru pendidikan jasmani, mentor sukan dan pemain di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil pada Selasa yang adalah sebahagian klinik bola keranjang dan hubungan luar gelanggang di sekitar Malaysia anjuran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bersama National Basketball Association (NBA), liga profesional bola keranjang di Amerika.

Program selama seminggu yang masih berjalan, diketuai oleh bekas pemain NBA, Reid dan lagenda wanita NBA, Cappie dijadualkan berlangsung di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu. 

Mengulas lanjut, Cappie, 36, berkata adalah amat menakjubkan untuk melihat reaksi dan perasaan kasih sayang dimiliki mereka di rumah anak-anak yatim yang beliau dan Reid lawati pada hari pertama di sini.

Ia mengubah dan memberi inspirasi kepada hidupnya 100 peratus dengan hanya melihat kegembiraan mereka apabila bersua beliau dan Reid.   

Sementara itu, bagi Reid, 51, berkata biarpun Malaysia ketinggalan dalam bola keranjang tetapi jika fraterniti sukan ini, terutamanya pemain muda melaburkan masa dan usaha mereka, mereka boleh meningkat.

 Bagi saya, apabila anda bekerja keras untuk sesuatu, macam-macam boleh berlaku kepada sesiapa, ia berlaku kepada Cappie, ia berlaku kepada saya, ia juga boleh berlaku kepada anda. Itu yang kami mahu mereka ketahui, bahawa selagi kamu bekerja keras, saling menghormati, perkara baik boleh berlaku kepada anda,” kata beliau yang mempunyai ketinggian 2.06m.

Wakil sukan AS itu akan berada di Borneo sehingga Ahad sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kedua Hari Amerika:Borneo, sambutan selama seminggu yang Kedutaan Amerika Syarikat menjadi tuan rumah di Sabah dan Sarawak, selain daripada menjadi tetamu kehormat sambutan Hari Kemerdekaan Amerika di Kota Kinabalu, Khamis ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel