Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Karim optimis pertahan jawatan Presiden KOM


Tarikh kemaskini: 27/06/2019




KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Tidak gentar cabaran bakal dihadapi, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim optimis mampu mempertahankan jawatan disandangnya itu walaupun akan ditentang timbalannya, Datuk S.M. Muthu pada pemilihan badan induk olahraga negara itu, 30 Jun ini.

Karim, 63, presiden badan induk itu selama dua penggal berturut-turut sejak 2014, tetap yakin untuk mempertahankan jawatan itu sepenggal lagi kerana beliau menganggap untuk menjadi Presiden KOM, individu berkenaan perlu mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa. 

“Tujuan saya untuk teruskan kedudukan dalam KOM bukan untuk sebarang kepentingan peribadi. Saya hanya mahu bantu KOM dan atlet. Saya sendiri pun seorang atlet, saya mempunyai minat dan semangat yang tinggi. 

“Jika saya tidak dapat pertahankan jawatan ini, saya akan terus menabur jasa serta membantu sukan olahraga,” katanya pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di Wisma MOM, di sini, hari ini. 

Karim yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam arena olahraga tanah air menegaskan, beliau tidak mahu meninggalkan KOM begitu sahaja, sebaliknya mahu merealisasikan impiannya untuk memastikan badan induk olahraga itu memiliki pejabat dan trek sendiri.

Antara perkara dijanjikan Karim ialah membentuk hala tuju sukan olahraga di semua peringkat untuk pembangunan jangka panjang serta meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai sukan itu sehingga ke peringkat akar umbi.

Selain itu, beliau menjanjikan penganjuran lebih banyak pertandingan di pelbagai peringkat, meningkatkan kursus kejurulatihan dan memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga.

Beliau juga menyasarkan skuad olahraga negara meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Zhejiang, China, dan muncul juara keseluruhan acara olahraga pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam. 

Mengulas mengenai dakwaan beliau merupakan seorang pemimpin diktator, Karim berkata perkara itu tidak benar kerana beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan sendiri tanpa mendapatkan persetujuan pihak lain serta campur tangan dalam bidang kuasa orang lain. 

“Biar saya jujur dengan kamu semua, segala apa dibincangkan dalam KOM, semua maklumat diminitkan dan dihebah kepada semua. Semua dapat maklumat, dan masing-masing ada portfolio mereka sendiri, saya tidak pernah campur tangan,” katanya. 

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi pada pemilihan tersebut sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Wisma MOM pada Ahad ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel