Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPA sasar 10 peratus pesara guna khidmat kaunter MyPesara


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





MELAKA, 27 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyasarkan 10 peratus daripada kira-kira 800,000 pesara kerajaan di seluruh negara akan menggunakan perkhidmatan kaunter MyPesara yang dilaksanakan sejak 1 April lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata pelaksanaan itu bertujuan memudahkan urusan golongan berkenaan mendapatkan khidmat nasihat dan garis panduan berhubung hal ehwal persaraan. 

"Kaunter MyPesara ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pesara dan memberi pelbagai manfaat terutama kepada mereka yang kurang mahir menggunakan kemudahan teknologi maklumat yang mana ia boleh diakses melalui aplikasi MyPesara. 

"Dengan kaunter ini mereka dapat berurusan secara bersemuka di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) terdekat bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan status persaraan, cetakan penyata pencen dan cetakan surat kelulusan faedah persaraan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sesi Libat Urus bersama Pengurus Sumber Manusia (HR Day) di sini hari ini. 

Pada majlis itu, turut berlangsung majlis perasmian kaunter MyPesara yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari. Turut hadir SUK Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan.

Mengulas lanjut, Borhan berkata kaunter MyPesara turut menerima permohonan kemas kini maklumat perkahwinan, penceraian, maklumat anak, pencen terbitan bagi kematian dalam persaraan, bantuan mengurus jenazah, pertukaran akaun bank, pelantikan wakil Skim A dan pelantikan wakil diri bagi pesara serta penerima pencen. 

Beliau berkata terdapat 10 pejabat SUK yang menyediakan perkhidmatan MyPesara iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang. 

"Berbanding sebelum ini, perkhidmatan kaunter ini hanya beroperasi di beberapa lokasi iaitu JPA Putrajaya, Bahagian Pasca Perkhidmatan Cawangan Sabah, Bahagian Pasca Perkhidmatan Cawangan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Persaraan dan Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP) di Cyberjaya.

"Oleh itu, secara tidak langsung kita dapat meringankan beban kewangan mereka dengan meminimumkan jarak perjalanan," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel