Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak akan kekalkan jumlah keluasan padi - Exco Pertanian


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perak akan mengekalkan jumlah keluasan tanaman padi di negeri itu untuk memastikan keselamatan makanan rakyat negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari.

“Malah, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk menambah keluasan tanaman padi bukan sahaja di Kerian tetapi di seluruh Perak kerana kita tidak mahu bergantung dengan beras import,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong Selasa lepas bahawa kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan penukaran status tanah pertanian di Kerian sekiranya terdapat permohonan pembangunan perumahan dikemukakan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK).

Paul dilaporkan berkata, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan daerah Kerian sebagai Dormitory Town kepada penduduk Pulau Pinang bagi memiliki hartanah dengan harga lebih murah, namun keputusan membenarkan penukaran status tanah pertanian padi untuk pembangunan di daerah itu bagaimanapun tidak akan dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya tetapi akan dikaji secara terperinci.

Abdul Yunus sebaliknya berkata tiada keperluan untuk menukar kawasan jelapang padi di negeri ini menjadi kawasan perumahan.

“Paul bercakap sebagai Exco Perumahan semasa Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035, jadi orang ramai boleh membuat cadangan atau bantahan dalam tempoh sebulan ini mengenai kandungan draf itu,” katanya.

Abdul Yunus berkata luas petak padi di Perak adalah 43,079 hektar dan menghasilkan sebanyak kira-kira 302,565 tan metrik padi pada tahun lepas berbanding 293,715 tan metrik pada 2017.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Pertanian Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kaedah yang sistematik dan efisien bagi program pemutihan kawasan padi menggunakan teknologi geospatial bagi mengatasi isu ketirisan dan penyelewengan dalam pemberian subsidi baja padi kerajaan.

Beliau berkata penggunaan teknologi geospatial membolehkan pihak berkaitan mendapatkan data yang lengkap dan mengikut keadaan sebenar kawasan sawah padi luar jelapang di negeri Perak.

Katanya data pesawah yang tidak lengkap dipercayai menyebabkan ketirisan dan penyelewengan subsidi baja padi sehingga kerajaan menanggung kerugian jutaan ringgit.

Abdul Yunus berkata Kawasan Skim Pengairan Changkat Jong merupakan kawasan perintis yang telah diselesaikan program pemutihan itu bermula awal tahun ini dan Perak merupakan negeri pertama yang berjaya melaksanakan pemutihan kawasan padi luar jelapang.

“Menurut Jabatan Pertanian Negeri Perak, antara punca utama data tidak lengkap dan semakan terperinci sukar dilakukan adalah disebabkan terdapat perubahan nombor lot pesawah yang lama kepada nombor lot baharu dan isu kesukaran carian nombor lot pesawah yang terkini selain isu-isu berkaitan profil pesawah itu sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel