Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedaran kendali bahan petroleum secara selamat masih rendah


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





BATU PAHAT, 27 Jun (Bernama) -- Kesedaran dalam mengendalikan bahan-bahan petroleum secara selamat termasuk di stesen minyak, premis perniagaan dan kawasan perumahan dalam kalangan masyarakat dilihat masih rendah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Chong Chieng Jen berkata, sebab itu pihaknya kini secara berterusan mengadakan kempen kesedaran dan dalam masa yang sama mahu penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara tegas.

Katanya, kecuaian sering berlaku ketika menggunakan bahan-bahan petroleum ini, sehingga mengakibatkan kebakaran, sambil merujuk salah satu kes terbesar di negara ini adalah kes kebakaran membabitkan stesen gas asli kenderaan (NGV) di Mount Austin, Johor Bahru, pada tahun 2016, yang mengakibatkan satu kematian.

"Antara perlakuan tidak selamat yang masih kerap dilakukan ialah penggunaan telefon bimbit serta tidak mematikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak dan perlakuan ini amat bahaya kerana akan menjadi pemangkin berlakunya letupan dan kebakaran yang besar,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Johor di Stesen Minyak Petron Tongkang Pechah, di sini.

Menurut Chong lagi, pihaknya juga akan berterusan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penguatkuasaan larangan aktiviti merokok di kawasan persekitaran stesen minyak.

Katanya, jika sebelum ini hanya nasihat dan teguran diberikan kepada pelakunya tetapi selepas ini larangan berkenaan akan dilaksanakan dengan lebih tegas lagi bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta pengguna termasuk petugas stesen.

“Selepas ini kepada pesalah berkenaan (perokok), kita akan menggunakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Peraturan 11(1)(o) dan pengguna boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

“Tiada seorang pun termasuk petugas stesen boleh merokok di mana-mana kawasan di dalam sesebuah stesen minyak, termasuklah di tandas, kaki lima dan belakang stesen,” katanya.

Tambah beliau lagi, pengusaha stesen minyak juga disaran agar sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan di stesen minyak dengan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keselamatan, sistem pencegahan kebakaran dan papan tanda amaran keselamatan yang lengkap, mudah dilihat serta jelas untuk panduan pelanggan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel