Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Taman tema i-City destinasi pelancongan ketiga di Selangor peroleh pensijilan MyTQA


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





SHAH ALAM, 27 Jun (Bernama) -- Taman Tema i-City di Seksyen 7 di sini menjadi destinasi ketiga industri pelancongan di Selangor yang memperoleh pensijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Yean Yoke Heng berkata pensijilan diberikan susulan kejayaan taman tema itu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan iaitu berkaitan maklumat, tanggapan awal, daya tarikan, fasiliti, staf, keselamatan dan amalan lestari.

Beliau berkata selain taman tema i-City, dua lagi destinasi pelancongan di Selangor yang turut memperoleh pensijilan MyTQA adalah pusat membeli-belah Sunway Pyramid di Petaling Jaya dan taman haiwan ‘Farm in The City’ di Seri Kembangan.

“Pensijilan terhadap taman tema i-City ini diperakukan untuk tempoh tiga tahun dan ia merupakan destinasi pelancongan yang ke-39 seluruh Malaysia untuk menerima pengiktirafan itu.

“Antara 39 destinasi berkenaan adalah Langkawi Skycab, The Top Komtar, Menara Taming Sari dan Galeria Perdana," katanya pada sidang media selepas merasmikan tarikan terbaharu taman tema i-City iaitu ‘Snow Village’ di sini, hari ini.

Taman Tema i-City yang turut dikenali sebagai ‘taman lampu digital’ itu dibuka secara berperingkat mulai Dis 2009 menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong antaranya taman tema air, pameran lampu digital berwarna-warni, muzium interaktif ‘Trick and Art’, muzium lilin interaktif ‘Red Carpet2’ yang mempamerkan pelbagai patung lilin figura komik, personaliti antarabangsa serta tempatan, tarikan rumah salji ‘Snow Village’ dan pelbagai permainan untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi i-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata pembangunan di bandar pintar i-City akan terus dinaik taraf selaras dengan visi kerajaan Selangor untuk menjadi negeri pintar menjelang tahun 2025.

Katanya i-City akan membuat penambahbaikan khususnya dalam penggunaan teknologi digital untuk menyediakan prasarana taman tema yang lebih baik pada masa depan.

“Bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020, kami memperkenalkan tarikan terbaharu kepada pelancong iaitu Snow Village untuk pengunjung merasai sendiri kesejukan pada tahap negatif lapan dalam suasana negara tropika," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel