Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka bakal bangunkan Resort Harapan urus warga emas


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





MELAKA, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka akan membangunkan sebuah Resort Harapan sebagai persediaan atau pelan jangka pendek untuk negeri itu yang dijangka menjadi 'negeri tua' menjelang 2023, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata pembangunan resort yang dijangka bermula pada Januari 2020 itu merupakan pelan jangka pendek bagi menampung peningkatan jumlah warga emas di negeri itu pada masa depan selain memastikan pengurusan golongan tersebut berada dalam keadaan baik.

Katanya resort berkenaan akan memberi tiga fokus utama iaitu kesihatan, kebajikan dan pendidikan kepada penghuninya terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau pencen pada hari tua mereka selain mereka yang mempunyai keterbatasan fizikal.

"Pengurusan warga emas di negeri ini akan menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri pada masa hadapan kerana jumlah warga emas di Melaka dijangka meningkat kepada 15 peratus daripada jumlah penduduk semasa berbanding 10 hingga 13 peratus pada ketika ini dan golongan ini perlu diurus dengan baik.

"Kita perlu mengambil tanggungjawab ini kerana ia akan menyumbang kepada pelbagai masalah lain khususnya gelandangan. Pembangunan resort ini antara solusi terbaik untuk pengurusan warga emas di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata pembangunan resort itu akan dilaksanakan melalui aset atau bangunan sedia ada milik kerajaan negeri yang tidak digunakan bagi mengurangkan kos dan lokasinya sedang dikenal pasti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Beliau berkata kos pengurusan rumah penjagaan warga emas itu akan ditanggung secara bersama oleh keluarga dan kerajaan negeri melalui kutipan zakat.

Ditanya tentang jumlah penghuni yang akan mendapat manfaat daripada pembangunan itu, beliau berkata ia masih di peringkat kajian termasuk dari segi pelaksanaan model pengurusan resort itu.

Dalam perkembangan lain, katanya tidak timbul isu pembersihan etnik atau perkauman dalam struktur pentadbiran dan pengurusan baharu Hospital Pakar Putra Melaka sebaliknya ia dibangkitkan bertujuan isu perkauman dan mengalih pandangan rakyat.

Katanya berdasarkan rekod Jabatan Sumber Manusia hospital itu, pengambilan kakitangan di bawah pentadbiran baharu pada Jun tahun lepas ialah seramai 80 orang iaitu 53 Melayu, Cina (16 orang), India (lapan orang) dan lain-lain kaum (tiga orang).

"Memang kita akui banyak perubahan dilakukan pentadbiran baharu agar ianya terus berdaya saing sebagai salah sebuah hospital swasta terbaik di negeri ini namun dakwaan yang dibangkitkan tidak berasas," katanya.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka di akaun Facebooknya mendakwa hospital di bawah kerajaan negeri itu sedang melakukan pembersihan pekerja dan seramai sepuluh pekerja Melayu dan seorang pekerja India telah berhenti secara sukarela selepas menerima tekanan kerja yang berterusan daripada pihak pentadbiran baharu hospital itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel