Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gesaan dapatkan wang 1MDB daripada pemimpin PH tidak masuk akal - Lim


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Gesaan supaya mendapatkan semula wang berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya pemimpin UMNO tidak masuk akal kerana wang tersebut tidak memasuki akaun peribadi mereka, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurut Lim, siasatan untuk menjejak semula wang daripada kewangan 1MDB yang sedang giat dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melibatkan akaun peribadi bekas pemimpin UMNO itu yang kini dalam Pakatan Harapan.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan menggesa Lim untuk mendapatkan semula wang yang mengalir keluar dari 1MDB dan ia harus dimulakan dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya pun tidak tahu kenapa hendak minta duit kepada Mukhriz Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Mereka ada terima wang? Ada masuk akaun peribadi mereka atau tidak?

"Jadi itulah, kadang-kadang bukan cakap saya tidak mahu jawab tetapi (gesaan) ini tidak masuk akal sama sekali kerana tidak masuk akaun peribadi mereka jadi kenapa hendak tujukan ke atas mereka?" katanya kepada pemberita selepas Majlis Konsultasi Belanjawan 2020, di sini hari ini.

Lim turut mempersoal Presiden Gerakan itu yang tidak menggesa aliran wang yang masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipulangkan.

Lim berkata senarai 41 individu dan entiti yang terlibat dalam aliran wang berkaitan 1MDB seperti didedahkan SPRM baru-baru ini adalah senarai awal dan terdapat nama lain yang belum diumumkan termasuk persatuan pengamal media.

"Jadi biar kita tunggu kemungkinan besar banyak nama-nama lagi. Janganlah kerana nama tidak ada dalam senarai awal bermakna boleh terlepas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim, yang dikecam berikutan paparan kaligrafi bahasa Cina yang digantung pada dinding di pejabatnya, menyifatkan ia adalah permainan rasis oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana paparan itu disiarkan sempena menyambut Tahun Baru Cina lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel