Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ceroboh Kubur di Bachang: Seorang lagi lelaki ditahan


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





MELAKA, 27 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pencerobohan di tempat perkuburan dan merosakkan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata suspek berumur 19 tahun itu merupakan pelajar yang sedang mengikuti latihan kemahiran di sebuah institut pengajian tinggi swasta, ditahan di sekitar Jalan Bachang di sini, kira-kira 3.45 petang semalam.

"Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan polis kerana mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah iaitu waran tangkap dari mahkamah dan dia telah dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah itu hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata dengan perkembangan terbaharu itu, dua suspek telah ditahan dan tempoh reman empat hari bagi suspek pertama iaitu seorang tukang rumah warga Indonesia berumur 46 tahun yang berakhir hari ini dilanjutkan selama dua minggu lagi.

"Justeru, tempoh reman ke atas suspek pertama itu dilanjutkan bermula esok sehingga 11 Julai ini dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk menentukan motif kejadian," tambahnya.

Penahanan reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Jumaat lepas, media melaporkan kira-kira 20 kubur melibatkan kubur baharu dan lama dirosakkan termasuk dipecah-dipecahkan dan batu nisan dicabut serta dipatahkan selain dua kubur telah dibakar.

Susulan daripada itu, Ahad lepas, polis menahan warga Indonesia itu di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, kira-kira 5 petang dan direman pada Isnin lalu.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel