Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kadar kemalangan maut Ops HRA 2019 N. Sembilan rekod penurunan


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





SEREMBAN, 27 Jun (Bernama) --  Kadar kemalangan maut semasa Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan  selama 14 hari bermula 29 Mei lepas, menunjukkan penurunan sebanyak 43 peratus berbanding tahun lepas, kata Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri Choo Ken Hwa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional berkata Ops itu yang dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa lain merekodkan lapan kemalangan maut dengan sembilan kematian.

“Pada tahun lepas sebanyak 14 kes kemalangan maut dicatatkan dengan 15 kematian. Bagi tahun ini, kebanyakan kemalangan maut yang direkodkan berlaku di Jalan negeri namun tiada kemalangan maut direkodkan di sepanjang lebuh raya di bawah kawalan JPJ Negeri Sembilan.

“Berdasarkan rekod ini juga, kempen ini dilihat berjaya kerana terdapat penurunan kes kemalangan maut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra JPJ negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri  Datuk Zulkefly Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pengarah JPJ negeri Azrin Borhan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azrin berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada orang awam yang ingin menggunakan cermin gelap pada keseluruhan kenderaan.

"Di negeri ini belum lagi menerima permohonan tetapi banyak pertanyaan dari orang awam berkenaan cara memohon dan syarat ditetapkan. Kita sudah memberi penerangan di mana bahagian penguat kuasa JPJ negeri ditugaskan untuk memberi penerangan dari segi tatacara dan memohon syarat-syarat tersebut.

“Bagaimanapun, pemilik kenderaan yang memasang cermin gelap secara keseluruhan tanpa membuat permohonan dan kelulusan JPJ boleh dikenakan tindakan dengan notis dikeluarkan kepada mereka namun sekiranya mereka ingkar, kompaun dikenakan sebanyak RM300," katanya.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini membenarkan penggunaan cermin gelap pada bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan persendirian berkuat kuasa 8 Mei lepas.

Ia merupakan pindaan ke atas peraturan cermin gelap di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang turut meliputi perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Bagaimanapun penggunaan cermin gelap depan dikekalkan pada 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel