Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program YEAP dilanjutkan sehingga 15 Julai - Phoong


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Program Aspirasi Keusahawanan Belia Sabah (YEAP) yang telah berakhir baru-baru ini akan dilanjutkan semula sehingga 15 Julai ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia di negeri ini untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe program YEAP yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS) adalah Geran Khas bagi golongan belia dengan peruntukan sebanyak RM2 juta dalam Bajet 2019 yang diberikan kepada pemohon yang terpilih.

“Setiap pemohon yang terpilih akan menerima dana sebanyak RM2,000 seorang untuk bantuan memulakan perniagaan masing-masing.

“Saya telah memutuskan pembaharuan program ini supaya ia lebih berkesan dalam membantu anak-anak muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan setiap pemohon yang mempunyai idea yang baik akan dipilih,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Tengah Hari bersama beliau di sini hari ini.

Phoong berkata antara pembaharuan yang dibuat dalam program berkenaan adalah setiap pemohon tidak perlu meminta sebarang sokongan daripada sesiapa termasuk ketua kampung atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai semua permohonan dan apa yang kita mahu adalah pemohon yang mempunyai idea perniagaan yang baik dilihat mampu mengembangkan perniagaan.

“Kita akan memilih pemohon dengan telus tanpa sebarang campur tangan kerana kita mahu mereka yang layak dan berhak menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau juga berkata semua permohonan yang dihantar sebelum ini melalui program YESS masih lagi diguna pakai dalam YEAP dan tidak perlu membuat permohonan baharu.

“Selepas tarikh tutup permohonan pada 15 Julai ini jawatankuasa berkenaan akan mengumumkan senarai pemohon yang dipilih. Oleh itu, saya menyeru agar semua golongan muda di negeri ini merebut peluang ini sebagai permulaan menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Sementara itu, Phoong berkata kementeriannya kini sedang mengkaji untuk menubuhkan Pusat Inspirasi Belia Sabah bagi membantu golongan belia meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan sama ada dalam jangka masa yang sederhana atau panjang.

“Objektif pusat ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keusahawanan belia. Pusat ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengasah bakat dan kemahiran golongan belia serta memperkasakan semangat keusahawanan belia, sekali gus memudah cara penglibatan belia dalam perniagaan dan keusahawanan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel