Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wakil rakyat diminta tunaikan tanggungjawab bawa suara dan kehendak rakyat


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan setiap wakil rakyat agar menunaikan tanggungjawab mereka untuk membawa suara dan kehendak rakyat dan bukannya bersuara dan bertindak demi kepentingan diri sendiri.

Selain itu, baginda berharap agar setiap wakil rakyat memberikan pandangan yang baik dan sokongan padu untuk membantu Menteri Besar dan barisan exco kerajaan negeri dan bukan bertindak sebaliknya untuk memecah-belahkan kerajaan atau menjadi ‘gunting dalam lipatan’.

“Suka saya ingatkan bahawa setiap pemimpin yang telah dilantik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memikul amanah rakyat dan negeri Johor.

“Oleh itu, jalankan tugas yang diberikan dengan jujur dan ikhlas, serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan peribadi atau parti politik,” titahnya dalam amanat pembukaan penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan, di sini, hari ini.

Tegas Sultan Ibrahim, sebagai pemerintah utama negeri, baginda akan sentiasa memerhati dan memberi teguran bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik, lancar dan teratur.

Selain itu, baginda juga menyeru semua pemimpin kerajaan agar memahami sejarah negeri Johor dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang pentadbiran kerajaan supaya dapat membuat sesuatu keputusan dengan tepat dan konsisten, selaras dengan asas pembangunan negeri.

Dalam masa sama, baginda turut berharap agar pihak pembangkang memainkan peranannya untuk memastikan segala program kerajaan benar-benar memberi faedah kepada masyarakat umum dan dilaksanakan dengan betul dan teratur.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan kerajaan negeri agar mematuhi satu prinsip pengurusan kewangan iaitu jangan belanja lebih daripada hasil yang diterima.

"Oleh itu, kerajaan hendaklah memastikan terdapat lebihan hasil setiap tahun untuk dijadikan simpanan pada waktu susah nanti," titah baginda sambil merujuk pepatah Melayu yang menyebut "Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.”

Sultan Johor juga menyeru kerajaan negeri supaya berusaha keras untuk menarik lebih banyak pelabur, terutama dari luar negara.

"Dasar kerajaan yang konsisten adalah perkara penting untuk menggalak dan mengekalkan pelaburan jangka panjang di negeri ini Johor," titah Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel