Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JDT juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super 2019 sekali gus melakar sejarah bola sepak tanah air sebagai satu-satunya pasukan memenangi gelaran itu buat kali keenam berturut-turut selepas menundukkan Melaka 2-1, malam ini.

Kejayaan anak buah ketua jurulatih Benjamin Mora di Stadium Hang Jebat itu membolehkan JDT mengumpul 46 mata dan menamatkan perebutan takhta lebih awal dengan baki empat perlawanan liga.

Lebih manis, kejayaan bersejarah skuad 'Harimau Selatan’ malam ini dilengkapi dengan rekod bersih tanpa kalah selepas merakamkan 14 kemenangan dalam 18 perlawanan.

Pencabar terdekat, Pahang yang mengumpul 30 mata selepas 17 aksi setakat ini terpaksa akur apabila tidak lagi mampu mencabar meskipun meraih mata penuh dalam baki lima perlawanan mereka musim ini.

Pada aksi malam ini, dua gol JDT dijaringkan Muhamad Nazmi Faiz Mansor seawal minit ketujuh sebelum penyerang import, Diogo Luis Santo menampilkan kemahiran mengawal bola yang baik untuk mencetak jaringan ke-10 peribadinya musim ini pada minit ke-27.

Sementara gol sagu hati pasukan tuan rumah dijaringkan kapten Muhammad Shukor Adan pada minit ke-84 selepas penjaga gol JDT,  Mohd Farizal Marlias gagal menampan kemas sepakan penalti N'Guessan Davy.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar pula menyaksikan Kedah dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas PJ City FC sekali gus mengatasi Selangor di kedudukan ketiga liga.

Pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega muncul wira pasukan apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-76 selepas PJ City FC berjaya meledak dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Washington Brandos pada minit ke-60 diikuti G.Ganiesh (minit ke-66) untuk mengikat kedudukan.

Terdahulu, dua gol Kedah disumbangkan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-15 dan Mohd Farhan Roslan pada minit ke-49.

Sementara itu, Kuala Lumpur terus bergelut di zon penyingkiran apabila mencatat kekalahan ketiga  berturut-turut selepas tewas 1-3 di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain pertahanan, Lee Tuck tenang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-37 untuk meletakkan TFC di hadapan, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain import Kuala Lumpur Darko Markovic meledak gol penyamaan pada minit ke-41.

TFC kemudian mengesahkan kemenangan menerusi dua gol pada babak kedua perlawanan yang dijaringkan Muhammad Mohd Faudzi dan Abdul Malik Mat Ariff masing-masing pada minit ke-76 dan 83'.

Pada masa sama, perlumbaan perebutan takhta Liga Premier terus berlangsung sengit selepas Sabah kembali menerajui kedudukan liga apabila membelasah Sarawak 4-1 dalam pertembungan 'Borneo Derby' di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah kini mengumpul 34 mata, mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) hanya dengan perbezaan satu mata, namun skuad kendalian Jelius Tabias Ating kurang satu perlawanan berbanding JDT II yang telah melengkapkan 17 perlawanan setakat ini.

Pemain import dari Serbia, Rodoljub Paunovic muncul wira Sabah selepas meledak hatrik menerusi jaringan seawal minit kesembilan, 63' dan 84' sementara bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Policarpo dan kapten Sarawak Bobby Gonzalez masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-63 dan 58'.

Dalam pada itu, Pulau Pinang dan Terengganu FC II (TFC II) mengutip tiga mata selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Jaringan menerusi Julian Bottaro pada minit ke-29 dan Mohamad Al Hafiz Harun (minit ke-37) sudah cukup untuk menafikan jaringan penyamaan Negeri Sembilan oleh Jose Almir Barros pada minit ke-19 sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

TFC II pula mencatat kemenangan 4-2 menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Empat gol TFC II terhasil daripada hatrik Bruno Suzuki dalam tempoh 12 minit bermula dari jaringan seawal minit ke-11, 18' dan 23' sebelum Ahmad Takhiyuddin Roslan menyumbat gol keempat pasukan manakala Mateo Roskam dan Michael Chukwubunna masing-masing menjaringkan gol buat UKM FC pada minit ke-44 dan 84'.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel