Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanah runtuh Pulau Pinang: Identiti tiga mangsa dikenal pasti


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Identiti tiga daripada empat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini, semalam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata tiga lelaki warga Myanmar itu di kenal pasti sebagai Nai Cho Inn, 49, dan Maung Htwe, 38, iaitu mayat pertama serta ketiga ditemui dalam kejadian berkenaan manakala mayat kedua hanya dikenali sebagai Ong, 40-an.

"Pengecaman tiga lelaki itu dibuat oleh pengurus resort berkenaan yang mereka (mangsa) membuat kerja sambilan membina benteng penghadang tanah runtuh sejak seminggu lepas," katanya di sini malam ini.

Katanya mayat seorang lagi lelaki juga warga Myanmar masih belum dapat dikenal pasti dan pihak polis juga sedang berusaha mengesan anggota keluarga atau kenalan mangsa bagi membuat pengecaman.

Beliau berkata pihak polis juga sedang dalam proses menghubungi anggota keluarga mangsa untuk tindakan selanjutnya.

Che Zaimani berkata bedah siasat mendapati empat pekerja asing itu mati disebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutama kepala serta dada akibat tertimbus dalam tanah runtuh.

"Polis juga telah merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terutama pekerja di resort itu bagi membantu siasatan dan setakat ini kes tersebut disiasat sebagai kematian mengejut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.25 malam Selasa itu, empat warga Myanmar dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi.

Kesemua mangsa diupah oleh pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel