Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bakke kembali semula ke Felda, bagai sirih pulang ke gagang


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) – Bagai sirih pulang ke gagang bagi Tan Sri Mohd Bakke Salleh selepas beliau dilantik menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), pada waktu getir dan lebih mencabar.

Pelantikan beliau, yang berkuat kuasa 1 Julai, 2019, untuk tempoh dua tahun. 

Mohd Bakke merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd pada 2009 dan kemudiannya dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd, yang kini dikenali sebagai FGV Holdings Bhd.

Mempunyai pengalaman yang luas dalam industri perladangan, Mohd Bakke adalah calon yang paling sesuai untuk jawatan tersebut berikutan beliau dapat memastikan pemulihan yang lancar bagi agensi perladangan milik negara itu, kata Penganalisis Public Investment Bank Chong Hoe Leong kepada Bernama ketika ditanya mengenai pelantikan itu.

Bagaimanapun, jawatan itu dipenuhi dengan cabaran berikutan masalah kewangan dengan hutang dan kerugian meningkat, serta cabaran dalam sektor perladangan itu sendiri, katanya.

Kertas putih yang dikeluarkan di Parlimen pada April mendedahkan jumlah liabiliti FELDA naik dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berbanding peningkatan dalam nilai aset hanya pada 107 peratus.

Dapatan audit forensik turut menunjukkan kerugian atau kemerosotan sebanyak RM2.2 bilion untuk lapan urus niaga yang sedang disiasat, menyumbang 50 peratus daripada nilai pelaburan asal.

“Bagi mana-mana syarikat perladangan, harga minyak sawit mentah (MSM) sentiasa menjadi faktor penting yang akan menentukan jualan dan struktur kos syarikat dan kebanyakan syarikat dalam industri menghadapi masalah yang sama. Syarikat perladangan mencatatkan keputusan kewangan yang kurang menggalakkan dalam tempoh dua hingga tiga suku tahun yang lepas.”

Selain itu, ternyata terdapat banyak tekanan untuk mencatat prestasi yang baik selepas bantuan sebanyak RM6.23 bilion diputuskan oleh kerajaan untuk diberikan kepada FELDA untuk memastikan kemampanannya.

Sebagai permulaan, Chong percaya akan terdapat langkah pengurangan kos dalam FELDA dengan isu Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang sedang dilaksanakan dengan FGV.

Minggu lepas, FGV berkata dalam surat kepada pemegang saham bahawa syarikat akan kekal di landasan untuk menjadi syarikat berprestasi tinggi walaupun jika pemegang sahamnya yang lain bersetuju mengembalikan tanah yang diuruskan di bawah LLA.

FGV berkata mereka memiliki kesemua kilang sawit dan kilang penapisan memandangkan ia bukan sebahagian daripada perjanjian LLA dan akan kekal dengan syarikat perladangan itu.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel