Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Biar MPM, PJS tentukan Khairy layak atau tidak - Steven


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





KANGAR, 26 Jun (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menyelesaikan kemelut pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang bertanding merebut jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata KBS berpendirian untuk tidak campur tangan dan menyerahkan kepada MPM dan PJS untuk menentukan sama ada Khairy layak atau tidak untuk merebut kerusi nombor satu itu.

“Kita (kerajaan) tidak masuk campur soal ini. Tiada masalah untuk sesiapapun bertanding dan harus mengikut peraturan persatuan. Ia ditentukan berdasarkan perlembagaan badan sukan itu sendiri (sama ada layak bertanding atau tidak),” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas pelancaran Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis dan ‘Youth Biz Expo’ @ Perlis 2019 yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Sekolah Kebangsaan Kayang hari ini.

Semalam, Khairy mendesak agar PJS membuat keputusan segera sama ada beliau layak atau tidak untuk bertanding jawatan presiden ekoran pertikaian yang berlaku kerana beliau dilaporkan menghantar borang pencalonan selepas tarikh tutup.

Bagaimanapun, Presiden MPM SM Nasimudin SM Nasiruddin dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Khairy yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia dan empat lagi calon sah untuk bertanding kerana mereka mematuhi peraturan dan memfailkan pencalonan masing-masing dalam tempoh masa dan mematuhi syarat yang ditetapkan di borang pencalonan.

Khairy dicabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) Datuk Seri Megat D Shahriman Zahirudin yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden MPM selepas SM Nasarudin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.

Pada majlis pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis itu, Steven turut menyertai Tuanku Syed Faizuddin berbasikal dalam Kayuhan Belia Wawasan bersama kira-kira 60 peserta.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel