Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tzu Chi labur RM52.3 juta untuk bangunkan kampus komuniti di Batu Kawan


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan pelaburan bernilai RM52.3 juta oleh Persatuan Buddha Tzu Chi Merits Malaysia (Tzu Chi) bagi pembelian tanah di Batu Kawan untuk membangunkan kampus komuniti mereka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Tzu Chi menemui kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk melaksanakan projek sosial yang dikenali Pendidikan Komuniti di Batu Kawan pada 2017.

Beliau berkata, Bandar Cassia, Batu Kawan merupakan pilihan utama Tzu Chi untuk mewujudkan komponen pembangunan bersepadu dalam usaha memenuhi matlamat mereka ke arah pembelajaran sepanjang hayat bagi pembangunan mampan.

“Berasaskan pelaburan kira-kira RM52.3 juta bagi 12.14 hektar tanah di Batu Kawan, Tzu Chi akan memberi perspektif baharu kepada Bandar Cassia,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian dan pembangunan antara PDC dan Tzu Chi di sini.

Chow berkata susulan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Tzu Chi, PDC telah mengenal pasti 12.14 hektar tanah di Bandar Cassia bagi tujuan Tzu Chi membangunkan pusat dialisis, pusat latihan dan pendidikan, pusat kebajikan serta pusat kitar semula yang akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya.

“Berdasarkan pemahaman saya, 12.14 hektar juga dikhaskan untuk perluasan dan penguntukan lebih banyak kemudahan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tzu Chi Malaysia, Koay Chiew Poh berkata Tzu Chi turut merancang untuk membuat pelaburan tambahan RM150 juta hingga RM200 juta bertujuan membangunkan tanah itu sebagai kampus komuniti.

Beliau berkata pembangunan itu akan dibahagikan kepada empat fasa dengan projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun.

“Apabila siap sepenuhnya, kami akan mempunyai institut pendidikan komuniti, bangunan berkaitan kebajikan, perubatan, pendidikan, kemanusiaan, pemeliharaan alam sekitar serta ladang dan kebun.

“Selain itu kafeteria, tempat beribadat, auditorium, dewan pameran, dewan persidangan, dewan serba guna, asrama dan kemudahan, pusat penjagaan sosial dan komuniti serta pusat pemindahan, kedai, perpustakaan dan pejabat juga akan diwujudkan,” katanya.

Koay berkata pembinaan projek itu akan bermula sebaik sahaja proses dokumentasi diselesaikan.

Tzu Chi merupakan organisasi kemanusiaan antarabangsa berasaskan sukarela dari Taiwan yang menubuhkan cawangan pertamanya di Malaysia pada 1991.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel