Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cederakan Murid: Hukuman terhadap ustaz dikurang kepada sehari


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Seorang ustaz yang dihukum penjara enam bulan kerana mencederakan anak muridnya berusia 11 tahun di bahagian kaki kiri dan kanannya menarik nafas lega selepas  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggantikan hukuman penjara  itu dengan sehari sahaja.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muhammad Adib Abd Halim, 25, selepas mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan serta hukuman denda yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Kajang pada November lepas.

Mahkamah mengetepikan hukuman penjara enam bulan itu dan menggantikannya dengan penjara sehari, bagaimanapun menaikkan jumlah denda daripada RM2,000 kepada RM4,000 terhadap Muhammad Adib.

Hakim itu juga mengekalkan sabitan terhadap Muhammad Adib selaku perayu.

Lelaki itu merayu terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Majistret Nor Afidah Idris pada 16 Nov lepas, yang mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan

Perayu diwakili peguam Khairul Amin Abdullah sementara Timbalan Pendakwa Raya R. Puspharasi hadir bagi pihak responden.

Muhammad Adib sebelum ini dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas murid lelaki darjah lima itu di dalam kelas di sebuah sekolah rendah agama di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada  2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Dia dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Khairul Amin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya akan dihantar ke Penjara Kajang dan dibebaskan lewat petang ini.

Selain itu, katanya, keluarga Muhammad Adib juga akan membayar denda tersebut.

Kes Muhammad Adib sebelum ini tular di media sosial berikutan tindakannya merotan murid itu yang dikatakan enggan menunaikan solat.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel