Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat kes terbaru Chikunguya dikesan di lokaliti baharu di Alor Setar


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





ALOR SETAR, 26 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengesan lokasi baharu  wabak Chikungunya selepas empat orang lagi terdiri daripada peniaga dan penduduk di Simpang Kuala, di sini disahkan positif virus itu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, empat kes terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang positif menghidap penyakit itu ialah 19 orang termasuk 15 yang disahkan di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini sebelum ini.

“Aduan kes di lokaliti berkenaan diterima pada pukul 10 malam kelmarin (Isnin) dan anggota daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turun ke kawasan itu bagi menjalankan siasatan segera.

“Siasatan dan ujian darah mendapati empat individu yang berumur dalam lingkungan umur antara 39-60 tahun disahkan positif Chikungunya dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan hubungkait wabak dengan jangkitan di deretan kedai berdekatan City Plaza,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, sebanyak 24 premis di kawasan tersebut telah diperiksa dan enam bekas ditemui dengan pembiakan positif di mana empat kompaun telah dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai kompoun sebanyak RM2,000.

Norhizan berkata, bagi kawalan vektor di rumah kedai dekat City Plaza yang bermula pada Ahad hingga semalam pula sebanyak 453 premis telah diperiksa dan 26 bekas ditemui dengan pembiakan positif. 

Katanya, sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan di bawah APSPP 1975 dengan nilai RM7,500 kepada pemilik premis yang membiak Aedes.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan dan dinasihatkan untuk mengelak membuat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

Ahad lepas, 23 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki menghidap penyakit chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Bagaimanapun Dr Norhizan berkata 15 daripadanya didapati positif penyakit itu hasil ujian darah yang dijalankan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel