Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekebun kecil akan dibantu dapatkan MPSO


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





MELAKA, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Industri Utama akan mengenal pasti pekebun kecil yang perlu dibantu bagi mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO).

Menyatakan demikian, Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini akan dilakukan melalui Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (Tunas) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di setiap negeri.

Katanya, inisiatif ini bagi memastikan lebih 600,000 pekebun kecil sawit di negara ini memperoleh MPSO menjelang Jan 2020.

Kementerian akan juga bekerjasama dengan RISDA bagi tujuan tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku 2019 Peringkat Negeri Melaka di Panggung Sari di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Melaka Mohd Rizal Hashim dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Norlela Abdul Karim.

Shamsul Iskandar berkata pensijilan itu penting bagi menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil  sawit melalui amalan pertanian yang baik, sekali gus menjana pendapatan lebih tinggi untuk pekebun kecil.   

Beliau berkata setakat ini, hanya sekitar 35 hingga 40 peratus pekebun kecil sawit di seluruh negara yang memperoleh MPSO.   

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa pekebun kecil memanfaatkan dana pinjaman mudah sebanyak RM500 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi penanaman semula sawit.   

Sementara itu, Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku 2019 Peringkat Negeri Melaka disertai 11 Kelab Malaysiaku dari 11 sekolah menengah di sekitar negeri itu melibatkan penyertaan 110 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal muncul juara pertandingan sketsa itu yang membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi SMK Ayer Molek dan SMK Tinggi Perempuan yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 dan RM1,000.

Selain itu, pemenang juga memperoleh sijil, plak dan piala bagi setiap peserta.

SMK Durian Tunggal akan mewakili Melaka dalam pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan pada 28 Julai di Perak.

Pertandingan sketsa itu merupakan kerjasama antara Jabatan Penerangan Melaka, Jabatan Pendidikan Melaka melalui Kelab Malaysiaku bagi memupuk jati diri dan menanam nilai perpaduan serta semangat cintakan negara yang menjadi teras keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel