Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesara guru rugi RM73,000 ditipu sindiket 'Macau Scam'


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





ALOR SETAR, 25 Jun (Bernama) -- Seorang wanita yang juga pesara guru berusia 73 tahun kerugian RM73,000 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’ menerusi panggilan telefon pada bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Supt Annuar Amri Abd Muluf berkata wanita itu yang berasal dari Bedong dekat Sungai Petani, sebelum itu mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Kota Kinabalu.

Katanya, pemanggil itu kemudiannya memberitahu wanita tersebut bahawa dia telah didapati terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan wangnya yang berada dalam akaun bank akan disita.

“Mangsa telah diberikan satu nombor akaun bank dan diminta untuk memindahkan wangnya ke dalam akaun tersebut bagi mengelakkan wangnya disita.

“Akibat terkejut dan cemas, mangsa terus mengikut arahan menerusi panggilan telefon tersebut di mana wanita itu memasukkan dua kali wangnya menerusi kaunter bank iaitu sebanyak RM63,000 dan RM10,000 pada 16 Mei lepas ke akaun yang diberikan individu itu,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri JSJK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Annuar Amri berkata, keesokan harinya mangsa cuba menghubungi lelaki tersebut namun tidak berjaya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 19 Jun lepas selepas menyedari ditipu.

Katanya, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masih mengesan lelaki terbabit yang dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket Macau Scam.

“Saya nasihatkan supaya orang ramai jangan cemas apabila mendapat panggilan seperti ini dan paling penting adalah semak terlebih dahulu dengan pihak polis sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Menjelas lanjut, Annuar Amri berkata pihak polis tidak mempunyai hak dan tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan polis mengarahkan orang awam memindahkan wang mereka ke akaun lain.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 60 kes Macau Scam yang melibatkan kerugian lebih RM1.1 juta direkodkan di negeri ini sejak Januari lepas hingga hari ini dengan daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 15 kes.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel